SERDANG – MalaysiaGazette menerima Anugerah Liputan Portal Atas Talian Tertinggi pada Majlis Promosi Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah atas sumbangan meningkatkan visibiliti universiti sepanjang tahun 2025.
Penghargaan tersebut turut diberikan kepada pihak media yang menyumbang secara signifikan dalam liputan berita berkaitan UPM sepanjang tahun lalu melalui 13 kategori dan seramai 15 ahli akademik dan profesional UPM menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2025.

Menurut Ahmad Farhan, media sebagai rakan strategik amat penting dalam mengetengahkan kepakaran dan pencapaian universiti, sekali gus membantu memperkukuh reputasi institusi itu di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Sokongan berterusan rakan media menjadi faktor utama dalam meningkatkan visibiliti universiti serta merapatkan jurang antara dunia akademik dan masyarakat melalui penyampaian maklumat berasaskan ilmu dan penyelidikan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan media yang hadir serta yang sentiasa komited dalam menyokong Universiti Putra Malaysia” katanya dalam ucapan pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026, di sini malam ini.

Tambah Ahmad Farhan, UPM mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak media termasuk menyediakan akses kepada pakar universiti untuk mendapatkan maklumat atau bahan eksklusif.
Katanya lagi, UPM turut berhasrat melahirkan lebih ramai pakar akademik yang mampu berinteraksi secara efektif dengan media bagi memastikan penyampaian ilmu dan hasil penyelidikan universiti dapat difahami masyarakat secara meluas.
“Lagkah itu penting dalam memastikan maklumat yang tepat dan berautoriti dapat memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam era media sosial yang menyaksikan pelbagai reaksi dan maklumat disebarkan dengan pantas,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















