KUALA LUMPUR – Penubuhan Sekretariat Rakyat Bertindak Menongkah Kos Sara Hidup (DESAK) bukan lagi pilihan tetapi kewajipan untuk menyelamatkan rakyat.
Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, hari ini rakyat bukan lagi sedang mengejar hidup selesa tetapi bertarung untuk memastikan hidup tidak runtuh.
“Ramai keluar pagi, pulang malam, bekerja sampai letih tulang tetapi duit tetap tidak cukup. Ramai ketua keluarga menelan resah dalam diam kerana setiap hujung bulan datang seperti ancaman.
“Ini bukan lagi soal mahu lebih. Ini soal bagaimana hendak terus bertahan.
“Bila harga minyak naik, kos bergerak naik. Bila kos bergerak naik, harga barang ikut naik. Bila harga barang naik, yang pecah bukan sekadar bajet bulanan. Yang pecah ialah ketenangan dalam rumah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang dikenali sebagai Tok Him mendakwa, hari ini rakyat mula berkira untuk membeli makanan, untuk isi minyak, belanja sekolah anak dan berkira untuk rawatan ibu bapa.
“Ini bukan tanda ekonomi sihat. Ini tanda rakyat sedang dihimpit sampai ke tulang,” katanya.
Menurutnya, isu kos sara hidup bukan isu politik bermusim kerana ia isu perut rakyat.
“Inilah sebabnya DESAK mesti dilihat sebagai satu keperluan darurat bukan kerana rakyat suka bising. Bukan kerana rakyat mahu sensasi tetapi kerana rakyat sudah terlalu lama memikul beban,” katanya lagi.
Menurutnya, DESAK perlu berdiri sebagai benteng penyatuan rakyat.
“Ada yang mungkin masih mahu melihat DESAK dengan cermin politik sempit. Itu silap yang sangat besar. Dalam keadaan hidup rakyat sedang tertekan, soalnya bukan siapa akan menonjol,” katanya.
Menyokong DESAK bukan bererti memihak kepada mana-mana kepentingan sempit, katanya. – MalaysiaGazette















