KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) digesa memberi penjelasan segera berhubung dakwaan anggota paramedik dan pemandu ambulans yang tidak menerima Elaun Lebih Masa (ELM) atau cuti gantian walaupun diarahkan bertugas di luar waktu bekerja.
Senator Dr RA Lingeshwaran berkata, berdasarkan jawapan lisan di Dewan Negara pada 4 Mac lalu, KKM sendiri mengesahkan anggota yang diarahkan secara bertulis oleh Ketua Jabatan untuk bekerja lebih masa atau berada dalam keadaan bersedia atas panggilan layak menerima ELM atau cuti gantian.
“Perkara ini jelas diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM), justeru, tidak sepatutnya timbul isu hak ini dinafikan di peringkat pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain itu, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat Masyarakat yang bertugas secara bersendirian di Klinik Kesihatan atau Klinik Desa turut layak menerima Elaun Bersedia Atas Panggilan (EBAP) bagi tugas selepas waktu pejabat.
Bagaimanapun, beliau memandang serius pendedahan di media sosial yang mendakwa terdapat anggota sokongan diarahkan bertugas secara on-call tanpa dibayar ELM atau diberikan cuti gantian.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa situasi berkenaan masih berlaku di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk kemungkinan tiada arahan bertulis dikeluarkan walaupun tugasan tetap dilaksanakan.
“Adakah wujud keadaan di mana arahan bertulis tidak dikeluarkan bagi mengelakkan tuntutan dibuat, sedangkan beban kerja tetap ditanggung oleh anggota?,” soalnya.
Tambah beliau, pemantauan terhadap pematuhan pekeliling sedia ada juga perlu diperjelaskan bagi memastikan semua fasiliti kesihatan melaksanakannya secara konsisten.
Dalam pada itu, Lingeshwaran menegaskan, tidak adil sekiranya berlaku perbezaan layanan antara kumpulan profesional dan kumpulan sokongan sedangkan kedua-duanya memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa.
“Saya menggesa KKM menyiasat dakwaan ini dengan segera dan memastikan setiap titik peluh anggota barisan hadapan dihargai mengikut peraturan ditetapkan. Kebajikan paramedik dan pemandu ambulans tidak boleh dikompromi,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















