TASEK GELUGOR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas negeri-negeri yang mengaku diperintah berlandaskan Islam masih belum membangunkan industri halal secara menyeluruh.
Presiden UMNO itu menegaskan, walaupun seluruh negeri di Malaysia telah menubuhkan Majlis Industri Halal namun tidak semua negeri mempunyai lot industri halal sepenuhnya.
“Negeri-negeri yang diperintah oleh parti berlandaskan Islam pun tidak ada industri halal.
“Saya harap mereka tidak sekadar bercakap tetapi benar-benar melaksanakannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri PERDA Halal Park di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menekankan bahawa negeri yang tidak berlandaskan Islam seperti Pulau Pinang, telah mengambil langkah lebih awal dalam membangunkan industri halal.
“Negeri yang tidak Islamik seperti Pulau Pinang pun telah mewujudkan industri halal lebih awal daripada negeri-negeri lain.
“Maka, saya cabar negeri-negeri berkenaan untuk membangunkan industrial halal yang lebih besar daripada Pulau Pinang sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette















