PUTRAJAYA — Sebanyak 42 kertas siasatan telah dibuka berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan krisis tenaga global yang tular di media sosial dan platform digital, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan sehingga 3 petang tadi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kes siasatan berkenaan dengan 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Daripada 42 kertas siasatan yang dibuka, 31 kandungan melibatkan berita palsu berhubung kos bahan api. Pada masa yang sama, MCMC setakat ini telah membuat 355 permohonan penurunan kandungan palsu daripada pelbagai platform media sosial.
“Sebanyak 154 daripada jumlah itu telah pun diturunkan oleh penyedia platform, manakala selebihnya masih dalam penelitian platform-platform berkenaan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi selepas mesyuarat Kabinet dan Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di sini hari ini.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi maklumat yang belum dipastikan kesahihan terutama dalam keadaan dunia yang berdepan cabaran krisis tenaga global serta konflik di Asia Barat.
Dalam perkembangan sama, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan susulan kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara termasuk usaha memperkemas penyampaian subsidi secara lebih bersasar dan efisien.
“Beberapa ikhtiar yang akan disusuli termasuk apa yang telah diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan Kedua mengenai pemanfaatan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi termasuk diesel untuk rakyat Malaysia.
“Mekanisme ini akan diteliti oleh Kementerian Kewangan dan akan diputuskan di peringkat Jemaah Menteri sebelum diumumkan secara muktamad kelak,” katanya.
Menurut beliau, Jemaah Menteri turut mengambil maklum isu yang dihadapi golongan nelayan susulan perbezaan harga diesel bersubsidi dan pulangan hasil tangkapan dengan kementerian berkaitan diminta meneliti langkah susulan yang bersesuaian.
Dalam masa sama, kerajaan mempertimbangkan keperluan penempatan anggota Polis Diraja Malaysia di stesen minyak sempadan bagi mempertingkat kawalan keselamatan susulan siri penahanan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Beberapa aspek keselamatan perlu dipertingkatkan dan Jemaah Menteri sedang mempertimbangkan keperluan kehadiran anggota keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia untuk memastikan keselamatan di stesen-stesen minyak di sempadan terus terpelihara,” katanya.
Selain itu, Jemaah Menteri turut memutuskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara yang akan dianggotai semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai sekretariat bagi memperkukuh penyelarasan dan kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi sebarang krisis pada masa hadapan. — MalaysiaGazette
















