Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah bercakap kepada media pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026 di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2026.

SERDANG – Penggunaan teknologi melalui ‘blueprint’ keterjaminan makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) antara inisiatif penting merancakkan pengeluaran hasil pertanian tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber makanan import.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pendekatan itu memberi fokus kepada usaha menggalakkan petani meningkatkan aktiviti penanaman bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik, malah menyokong permintaan di peringkat tempatan.

Katanya, usaha berkenaan juga seiring dengan aspirasi kerajaan yang mahu institusi pengajian tinggi seperti UPM memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkukuh tahap keterjaminan makanan negara.

“Isu kebergantungan kepada makanan import bukan perkara baharu, malah telah lama diketengahkan UPM bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai antara cabaran utama negara.

“Situasi geopolitik semasa turut memberi kesan kepada sektor pertanian apabila bukan sahaja bekalan makanan terjejas, malah melibatkan bahan input seperti baja dan keperluan lain.

“Keadaan ini menunjukkan negara yang mempunyai keupayaan sendiri dalam pengeluaran makanan akan lebih terjamin dan tidak terlalu terdedah kepada risiko luar,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Promosi UPM Bersama Media 2025 di sini, malam tadi.

Tambah beliau, penerapan teknologi antara elemen utama bagi memastikan sektor pertanian mampu meningkatkan pengeluaran secara lebih pantas, cekap dan berkualiti kerana cabaran ketika ini adalah demografi petani yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berusia.

“Salah satu strategi, kita menggunakan teknologi melalui tenaga muda dengan harapan graduan-graduan UPM yang akan dapat mengubah senario profil petani di Malaysia kerana tanpa teknologi kita tidak akan dapat menurunkan kos dan juga tidak akan dapat meningkatkan hasil serta kualiti.

“Kita juga menggunakan pakar-pakar kita (UPM) untuk membantu meningkatkan kapasiti petani secara keseluruhan. Pada masa sama, kita membuka ruang untuk memberi latihan kepada petani-petani dari luar untuk belajar ilmu yang baru dan dapat digunakan untuk keperluan keterjaminan makanan,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast