BUTTERWORTH – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan pembatalan cadangan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 di kawasan tanah lapang hadapan Thean Hock Keong, Bagan Ajam di sini susulan aduan yang diterima.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pihak JHEAIPP menerima aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu Negeri Pulau Pinang berhubung cadangan penganjuran program berkenaan yang melibatkan satu poster yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, bertindak atas aduan itu, JHEAIPP telah mengeluarkan arahan pembatalan kepada penganjur pada 31 Mac lalu.
“Ini kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu aktiviti keagamaan masyarakat Islam yang tertakluk kepada kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
“Persatuan tersebut telah akur dengan arahan JHEAIPP dan membatalkan program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebagai pengganti kepada majlis berkenaan, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long Pulau Pinang akan menganjurkan Majlis Jamuan Perpaduan bersama penduduk Bagan Ajam.
Katanya, majlis itu dijadualkan berlangsung pada 11 April ini pukul 8 malam di Dewan Panorama Bagan Ajam.
“Sehubungan itu, atas nasihat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyerahkan semua urusan penyelarasan majlis jamuan perpaduan ini kepada jabatan berkenaan.
“Ini kerana sebarang majlis berkaitan aktiviti perpaduan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette
















