Oleh : Mohd Zaini Othman
SUDAH lebih dua minggu kini umat Islam berada di dalam bulan Syawal bersama kegusaran yang dikongsi bersama masyarakat dunia terhadap ketidaktentuan krisis ekonomi global kesan dari kenaikan harga minyak yang mendadak angkara ’tangan jahat’ Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran. Malaysia turut terasa tempiasnya namun ia tidak menjejaskan kemeriahan sambutan hari raya yangmasih belum pudar.
Sememangnya begitulah sikap mulia masyarakat kita hasil didikan agama dan keluarga sejak kecil, walaupun punya rezeki yang sedikit namun masih ingin berkongsi dan meraikan nikmat dan hikmah hari raya dengan mereka yang dekat mahupun jauh melalui majlis rumah terbuka. Penulis berpendapat keterujaan meraikan Syawal bukanlah bermakna bulan Ramadan yang berlalu tidak penting dan dikesampingkan.
Kedua-dua bulan ini disambut dengan pendekatan yang berbeza kerana secara tradisi dan adatnya, dalam konteks di Malaysia khususnya, umat Islam memahami bahawa Ramadan adalah waktu untuk menumpukan kepada menambah amal ibadah dan menuai pahala berlipat kali ganda manakala Syawal diisi dengan kunjung mengunjung dan menjamu selera.
Syawal bukan sekadar menandakan berakhirnya Ramadan, tetapi ia membawa makna kemenangan kepada umat Islam setelah berjaya menundukkan hawa nafsu, memperbanyakkan amal ibadah serta memperbaiki hubungan dengan Maha Pencipta dan sesama manusia. Dek kerana itu, dari dahulu lagi tema Aidilfitri memotretkan tentang kegembiraan, kesyukuran dan penyatuan hati dalam kalangan umat Islam.
Dalam konteks inilah Syawal sering dikaitkan dengan ungkapan yang penuh makna iaitu ‘yang jauh didekatkan, yang dekat dieratkan’. Hakikatnya, hikmah Syawal tidak terletak pada kemeriahan pakaian baharu atau hidangan yang pelbagai, tetapi pada kekuatan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan yang diperkukuhkan. Islam amat menitikberatkan kepentingan menjaga hubungan dalam keluarga kerana sebuah institusi kekeluargaan yang terdiri dari ibu bapa, adik-beradik serta saudara-mara merupakan amanah yang perlu dipelihara dengan penuh kasih sayang.
Hubungan ini bukan sekadar ikatan darah, tetapi juga satu bentuk tanggungjawab moral dan agama. Dalam kehidupan moden yang sering dibatasi oleh kesibukan kerja dan komitmen harian, hubungan kekeluargaan kadangkala menjadi renggang tanpa disedari. Justeru, Syawal hadir sebagai ruang yang amat bermakna untuk menghidupkan semula ikatan tersebut.
Al-Quran sendiri turut menegaskan kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan dan silaturahim. Allah SWT berfirman: “Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, serta peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.”(Surah An-Nisa’, ayat 1).
Dalam masyarakat Islam di Malaysia, tradisi kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri merupakan satu amalan yang sangat berharga. Amalan ini bukan sahaja merapatkan hubungan antara ahli keluarga, malah memperkukuhkan ikatan dengan saudara-mara serta kenalan lama. Rumah terbuka, ziarah keluarga dan pertemuan sahabat lama menjadi medan untuk memperbaharui hubungan yang mungkin telah lama terputus atas pelbagai sebab dan punca. Bagi mereka yang merantau jauh dari kampung halaman, Syawal merupakan detik yang amat dinanti-nantikan.
Dek kerana itu, bukan sesuatu yang pelik melihat ramai yang sanggup menempuh perjalanan yang jauh demi pulang bertemu ibu bapa dan keluarga tercinta. Fenomena “balik kampung” yang berlaku setiap kali menjelang Aidilfitri sebenarnya menggambarkan betapa kuatnya nilai kekeluargaan dalam budaya masyarakat kita. Pada saat inilah yang jauh kembali didekatkan, dan kerinduan yang sekian lama terpendam dapat dilepaskan.
Malahan, amalan bermaaf-maafan antara ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan mengajar manusia untuk merendahkan ego serta membuka lembaran baharu dalam kehidupan. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam perjalanan hidup, manusia sering melakukan kesilapan sama ada secara sedar atau tidak. Oleh itu, Syawal menjadi ruang terbaik untuk memohon keampunan dan memaafkan antara satu sama lain untuk memperbaiki hubungan sesama insan selari dengan firman Allah SWT: “Dan hendaklah mereka memaafkan serta berlapang dada. Tidakkah kamu suka bahawa Allah mengampunkan dosa kamu?”(Surah An-Nur, ayat 22)
Di samping itu, Syawal juga menjadi waktu untuk memperluaskan hubungan persahabatan dan kenalan. Kunjungan ke rumah jiran, rakan sekerja dan sahabat lama memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat. Hubungan yang baik dengan kenalan dan masyarakat sekeliling sebenarnya membantu membina suasana hidup yang lebih harmoni dan saling menyokong antara satu sama lain.
Dalam dunia yang semakin moden dan pantas berubah, nilai silaturahim ini tidak boleh dibiarkan semakin pudar. Teknologi dan media sosial mungkin memudahkan komunikasi, tetapi ia tidak dapat menggantikan nilai sentuhan kemanusiaan yang hadir melalui pertemuan dan ziarah secara langsung. Oleh itu, semangat Syawal perlu terus dimanfaatkan untuk memperkukuhkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan.
Sesungguhnya, hikmah Syawal terletak pada kemampuannya menyatukan hati manusia. Ia mengingatkan kita bahawa hubungan kekeluargaan, saudara-mara dan kenalan merupakan anugerah yang sangat berharga. Sambutan Aidilfitri bukan sekadar sebuah perayaan tahunan, tetapi sebuah peringatan bahawa kehidupan yang bermakna terletak pada hubungan yang baik dengan Allah SWT serta hubungan yang harmoni sesama manusia. Jika nilai-nilai yang dipelajari sepanjang Ramadan terus dipelihara dalam bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya, maka Aidilfitri benar-benar menjadi simbol kemenangan yang sebenar bagi umat Islam. TAMAT
Penulis merupakan Pentadbir di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis.
















