Oleh. Roslan Rusly
FEBRUARI lalu, berlangsungnya sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh peranan ibu bapa dalam memantau dan mengawal penggunaan Internet dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
Inisiatif anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi ini harus disambut baik dan dipuji. Ia wajar diteruskan melalui hebahan berterusan di pelbagai platform media sosial khususnya untuk menyuntik kesedaran, di samping membantu orang ramai memahami langkah pencegahan berkesan bagi melindungi diri dan keluarga daripada ancaman dalam talian.
Hari Keselamatan Internet boleh dianggap sebagai satu program advokasi yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Ia merupakan satu inisiatif global yang menekankan amalan penggunaan Internet secara selamat, beretika, dan bertanggungjawab. Program berskala besar yang diadakan meliputi pelbagai peringkat umur tanpa mengira agama dan budaya, serta diisi dengan pelbagai aktiviti pendidikan literasi digital.
Apabila berbicara mengenai keselamatan Internet, tafsirannya sangat luas dan umum. Saluran-saluran maklumat digital ini sangat penting kerana setiap daripadanya mempunyai penghuni atau “warganegara” tersendiri. Kini, saluran yang paling meluas ialah media sosial yang dihuni oleh “Netizen” (Net Citizen). Setiap platform seperti Facebook, Instagram, X, TikTok, Threads, dan terbaharu aplikasi UpScrolled, dihuni oleh kelompok masyarakat dari peringkat umur khusus mengikut majoriti penggunanya.
Media sosial dan AI
Capaian Internet melalui media sosial kini amat pantas di seluruh pelusuk dunia dengan jutaan penghuni atau warganegaranya. Jika dahulu, Internet secara tradisionalnya ditafsirkan sebagai ruangan mencari rujukan melalui laman web dan berbalas e-mel dengan ruang penggunaan yang terhad melalui komputer meja dan komputer riba. Kini, Internet merupakan satu keperluan dengan skop penggunaan yang terlalu luas melalui gajet-gajet yang mudah diperolehi.
Oleh sebab itu, isu keselamatan internet kini menjadi satu cabaran besar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai aplikasi Kecerdasan Buatan (AI). Kehadiran teknologi AI ini memberikan impak yang positif dan negatif. Secara hakikatnya, ia boleh menjadi ancaman kepada pengguna, terutama dalam kalangan kanak-kanak, belia dan segelintir masyarakat yang mempunyai tahap literasi digital yang rendah.
Janaan AI kini membolehkan jelmaan wajah dan susuk tubuh seseorang kelihatan hampir sama dengan manusia sebenar, termasuklah dari segi peniruan suara, lenggok tubuh badan dan laras bahasa. Penyalahgunaannya menimbulkan beberapa isu utama seperti penipuan kewangan, penyebaran maklumat palsu, pemalsuan identiti dan jenayah siber. Individu yang kurang terdedah kepada kecanggihan AI lebih mudah mempercayai kandungan palsu ini kerana sifatnya yang sangat realistik. Tahap kebolehpercayaan yang membuta tuli ini akhirnya memakan diri.
Banyak isu dan kes yang telah dilaporkan, antaranya jenayah menggunakan video deepfake tokoh terkenal. Video tersebut meniru wajah dan suara individu sebenar supaya kelihatan meyakinkan. Selain itu, puluhan ribu kes penipuan dalam talian direkodkan setiap tahun dengan kerugian mencecah berbilion ringgit. Janaan AI seperti mesej automatik dan deepfake menjadikan penipuan ini semakin sukar dikesan.
Berdasarkan data daripada SKMM, Kementerian Komunikasi Malaysia memaklumkan sebanyak 41,394 kandungan maklumat palsu yang dihasilkan oleh AI telah dipadamkan daripada platform media sosial dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 Ogos 2025. Di samping itu, sebanyak 1,005 hantaran penipuan pelaburan berbentuk deepfake turut diturunkan daripada platform yang sama dalam tempoh tersebut.
Pempengaruh mainkan peranan
Menyedari hakikat ancaman AI dan jenayah siber yang semakin meruncing ini, usaha mendidik masyarakat tidak boleh lagi bergantung secara eksklusif kepada kempen rasmi agensi kerajaan semata-mata. Di sinilah peranan pempengaruh media sosial perlu tampil ke hadapan dan diangkat sebagai duta kempen keselamatan Internet.
Dengan jumlah pengikut yang mencecah ratusan ribu hingga jutaan orang, mereka mempunyai pengaruh dan kuasa yang luar biasa untuk membentuk pemikiran serta tingkah laku masyarakat, terutamanya golongan kanak-kanak dan belia yang merupakan pengguna majoriti platform digital.
Kenapa perlu melibatkan pempengaruh media sosial sebagai rakan advokasi? Pempengaruh ini bertindak sebagai Key Opinion Leader (KOL). Suara mereka lebih mudah didengari melalui hantaran bersahaja dan santai serta maklumat yang disampaikan menggunakan laras bahasa yang mudah difahami, berbanding kempen-kempen konvensional yang kadangkala dilihat hanya bermusim.
Pempengaruh media sosial dari pelbagai genre kepakaran seperti gaya hidup, pendidikan, teknologi, mahupun hiburan, wajar menggunakan kreativiti masing-masing untuk menyelitkan mesej kesedaran tentang bahaya ancaman siber. Sebagai contoh, mereka boleh menghasilkan kandungan video pendek yang interaktif bagi membantu pengikut mengenal pasti mesej penipuan (scam), taktik penyamaran identiti atau ciri-ciri video janaan deepfake.
Had umur akaun media sosial
Langkah pencegahan awal kerajaan dengan meneruskan usaha mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dengan pelaksanaannya dijangka seawal pertengahan tahun harus dipuji dan ia satu tindakan awal bagi memastikan penggunaan internet selamat dari awal.
Pelaksanaan had umur tersebut bagi penggunaan media sosial adalah sebagai langkah awal bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi serta terdedah kepada kandungan tidak wajar dalam talian menerusi internet dan saluran-saluran media sosial.
Usaha yang bakal dilaksanakan ini dilihat bukan sebagai menyekat kebebasan tapi ia sebagai satu pendekatan yang melihat kepada kewajaran peringkat umur dan tahap kematangan. Diperingkat umur tersebut, kanak-kanak atau remaja mudah dipengaruhi dengan pelbagai kandungan media sosial. Oleh itu, pentingnya pempengaruh media sosial memainkan peranan dalam memberikan pendedahan awal berkenaan dengan kempen internet selamat.
Pendekatan proaktif dan kolaborasi strategik antara pihak kerajaan, penyedia platform dan pempengaruh media sosial ini merupakan kunci utama untuk melahirkan warga digital yang lebih celik IT, berwaspada, dan selamat. Inisiatif ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) buat para pempengaruh, yang secara tidak langsung memberikan nilai tambah bermakna dalam kandungan yang mereka hasilkan.
Jika dapat direalisasikan, objektif kempen keselamatan internet boleh tercapai dalam usaha mempromosikan penggunaan Internet dan kecerdasan buatan (AI) secara selamat, bertanggungjawab,beretika dan berkredibiliti. Ia selari juga dengan dengan tema kempen tersebut ‘Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab’.
Penulis ialah Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) & Calon Doktor Falsafah(PhD) (Komunikasi), Pusat Penyelidikan Media dan Komunikasi(MENTION), Fakulti Sains Sosial dan Kemanuisaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia.
















