TAWAU – Tiga lelaki warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang remaja di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kes terbongkar selepas mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan sebelum dibawa ke hospital oleh kakaknya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati remaja itu mengandung sebelum mangsa mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki yang dikenali di sebuah hotel.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an di tepi Jalan St Patrick kerana disyaki terlibat,” katanya.
Beliau berkata, hasil tangkapan itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 29 tahun di hadapan sebuah kilang di Batu 3 Jalan Apas.
Katanya, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















