KUALA LUMPUR — Laporan sebuah blog yang menuduh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menerima rasuah RM500,000 daripada NexG didapati masih boleh diakses, meskipun beliau sebelum ini mendakwa tulisan berkenaan telah diturunkan.
Semakan mendapati artikel bertajuk “Transaksi RM500 ribu NexG-Datasonic bayar rasuah kepada Rafizi terbongkar! SPRM digesa siasat skandal Projek Vending Machine RM21.1 juta” yang ditulis individu menggunakan nama Adina Zahira dan diterbitkan Selasa lalu, masih boleh dibaca setakat berita ini ditulis.
Tuduhan tersebut disiarkan menerusi laman web dikenali sebagai Malaysia Corporate, yang mendakwa wujud transaksi melibatkan syarikat Datasonic Group Bhd, kini dikenali sebagai NexG, kononnya bagi tujuan melobi Putrajaya.
Blog berkenaan turut mendakwa syarikat terbabit cuba mendapatkan lanjutan kerja sedia ada berkaitan pasport dan MyKad, selain mendakwa seorang eksekutif NexG meminta sokongan Rafizi untuk meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih serius, laporan itu turut mendakwa individu berkenaan “mengancam” kerajaan dalam membuat tuntutan tersebut, sekali gus mengaitkan Rafizi dengan dakwaan salah laku berprofil tinggi.
Bagaimanapun, Rafizi pagi tadi memaklumkan bahawa beliau mendapati tulisan tersebut sudah tidak lagi dapat diakses ketika mahu membacanya semula susulan pertanyaan beberapa peguam mengenai tindakan undang-undang.
Menurutnya, langkah untuk meneliti semula kandungan blog itu dibuat selepas terdapat cadangan supaya beliau menyaman pihak yang didakwa menggunakan tulisan tersebut untuk memfitnahnya.— MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Blog tuduh saya terima rasuah RM500,000 tiba-tiba hilang, takut kena saman – Rafizi
















