Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa blog yang menuduhnya menerima rasuah RM500,000 daripada NexG, kini sudah tidak wujud lagi.

Menurut Ahli Parlimen Pandan berkenaan, beliau hari ini berhasrat untuk membaca semula tuduhan yang dibuat menerusi blog berkenaan selepas beberapa peguam bertanyakan sama ada mahu menyaman pihak yang menggunakan tuduhan blog itu untuk memfitnah beliau.

“Hari ini, saya ingat nak baca balik tuduhan-tuduhan fitnah itu. Ada peguam-peguam tanya sama ada nak saman beberapa orang yang gunakan tuduhan blog itu untuk memfitnah saya, yang paling ke depan ialah Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.

“Bila check balik, blog tu dah jadi chipsmore.

“Sekejap ada, seronok masa fitnah orang: Bila kena ugut saman, terus tiada,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpesan kepada penulis-penulis upahan yang menerima banyak job untuk mencipta fitnah terhadap beliau kebelakangan ini, supaya ingat Allah SWT.

“Kita takkan terlepas dari penghakiman Allah, kalau tak hari ini, esok. Kalau tak di dunia, di akhirat,” katanya.

Terdahulu, Rafizi beberapa hari lalu berkongsi berkenaan apa yang didakwanya tuduhan rasuah terhadap beliau, kononnya menerima RM500,000 dari NexG menerusi seorang yang bernama Harizan Haris.

“Habis cerita mak nenek dia masukkan – konon nak bagi tahu saya sebenarnya ada kaitan dengan mafia korporat, ambik duit mula RM500,000, kemudian konon mafia korporat bagi saya RM40 juta.

“Pada hari yang sama fitnah ini keluar, saya telah jelaskan bahawa saya tidak pernah berjumpa sesiapa dari NexG atau seorang yang bernama Harizan Haris.

“Pada hari yang sama, NexG dan Harizan Haris juga telah mengeluarkan kenyataan mereka tidak pernah berjumpa saya dan menafikan semua tuduhan-tuduhan itu.

“Mereka juga menyatakan akan menyaman blog itu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast