Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Saman fitnah RM5 juta yang difailkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan hantaran Facebook enam tahun lalu, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.

Kenyataan bersama yang dipersetujui kedua-dua pihak dibacakan Najib di mahkamah, yang menjelaskan hantaran tersebut bukan bertujuan memfitnah, sebaliknya merupakan komentar politik umum berkaitan isu tadbir urus serta pelantikan dalam entiti berkaitan kerajaan.

Dalam kenyataan itu, beliau mengakui Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan anak perempuannya, Nurul Iman ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 serta ke Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia pada 1 Oktober tahun sama.

“Saya menerima beliau tidak terlibat dalam pelantikan tersebut dan tiada unsur nepotisme di pihak beliau.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa hantaran itu tidak bertujuan untuk memfitnah atau menggambarkan plaintif sebagai korup, mahupun terlibat dalam nepotisme atau kronisme,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Najib, hantaran bertarikh 24 Ogos 2020 itu dibuat dalam kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen ketika itu, dengan tujuan menyumbang kepada perbahasan awam berhubung isu pentadbiran, tadbir urus dan pelantikan dalam badan berkaitan kerajaan.

“Ia merupakan sebahagian daripada wacana politik yang ketika itu menjadi perhatian umum,” ujarnya.

Beliau turut mengakui hantaran tersebut telah memberi kesan kepada Dzulkefly dan keluarganya, walaupun perkara itu bukan niat asal beliau.

“Dalam semangat untuk bergerak ke hadapan secara konstruktif, saya mengucapkan yang terbaik kepada beliau dalam khidmat kepada rakyat dan negara, serta menghulurkan ucapan baik kepada beliau dan keluarganya,” katanya lagi.

Pertikaian itu berpunca daripada hantaran media sosial Najib pada Ogos 2020 yang didakwa memberi gambaran Dzulkefly mengamalkan nepotisme susulan pelantikan anaknya ke dua entiti berkaitan AIM.

Dzulkefly kemudian memfailkan saman fitnah pada Januari 2022.

Mahkamah dimaklumkan bahawa penyelesaian dicapai berdasarkan kenyataan yang dibacakan itu, tanpa sebarang syarat melibatkan permohonan maaf, penarikan balik kenyataan, kos atau bayaran oleh mana-mana pihak.

Kes berkenaan ditarik balik.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib, yang merekodkan penyelesaian itu turut menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua pihak, namun mengingatkan mengenai penggunaan masa mahkamah dan sumber awam.

“Masa mahkamah adalah sumber awam yang berharga dan pihak-pihak digalakkan mempertimbangkan penyelesaian lebih awal jika boleh,” katanya.

Perbicaraan kes itu sebelum ini bermula Selasa lalu selepas beberapa rundingan penyelesaian tidak berjaya, dengan Dzulkefly ketika memberi keterangan menegaskan beliau tidak pernah mempengaruhi pelantikan anaknya.

Dalam pernyataan pembelaannya, Najib pula menegaskan hantaran itu tidak ditujukan secara khusus kepada Dzulkefly, sebaliknya merujuk kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) secara umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast