KUALA LUMPUR – Seorang guru sekolah swasta berusia 25 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan dua motosikal di KM 21.7 Lebuhraya SILK arah Semenyih, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, berdasarkan siasatan awal berhubung kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal melanggar bahagian belakang sebuah lagi motosikal dari arah belakang.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan hilang kawalan sebelum terjatuh ke arah sebuah treler yang sedang bergerak lurus.
“Pemandu treler yang tidak menyedari kejadian tersebut telah melanggar penunggang serta motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan lelaki warganegara tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Dalam pada itu, penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal serta pemandu treler berusia antara 36 hingga 43 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, pihak polis menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan serta lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya. – MalaysiaGazette
















