Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan penstrukturan semula jadual perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang mulai 18 April ini hingga akhir Disember.

Katanya, ia susulan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) di antara Stesen Salak Selatan hingga Stesen Seremban.

“Penjadualan semula ini adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf landasan sepanjang 67km dilaksanakan dengan lebih selamat, teratur dan efisien, di samping membantu mempercepatkan garis masa pelaksanaan projek KVDT2 agar dapat disiapkan lebih awal daripada jadual yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang tempoh pelaksanaan projek yang dijangka sehingga akhir Disember 2026 kekerapan perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang akan dioptimumkan kepada lima perkhidmatan pada waktu puncak pagi dengan kekerapan setiap 15 dan 30 minit.

Pengurangan kekerapan ini adalah perlu bagi mengekalkan masa perjalanan yang konsisten, selamat dan terkawal di bawah operasi landasan tunggal.

Sepanjang tempoh pelaksanaan ini, tiada perkhidmatan KTM Komuter beroperasi dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang bagi laluan Midvalley – Pulau Sebang dan Pulau Sebang – Bandar Tasik Selatan.

Selain itu, penutupan penuh landasan di antara Stesen Salak Selatan hingga Stesen Seremban dari jam 10.00 malam hingga 6.00 pagi turut dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan dijalankan secara lebih intensif.

Selain itu, dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi laluan JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral turut terlibat dengan pelarasan jadual waktu dan nombor tren, manakala perkhidmatan ETS selebihnya akan terus beroperasi seperti biasa di laluan berkenaan.

Perkhidmatan ETS dan KTM Kargo akan terus beroperasi seperti biasa di laluan terlibat, namun terdapat dua tren ETS melibatkan pelarasan jadual dan nombor tren seperti berikut:

Waktu operasi sekarang Waktu operasi mulai 18 April
No. Tren EP9536 EP9530**
Laluan JB Sentral – KL Sentral JB Sentral – KL Sentral
Masa Bertolak 8.30 malam 3.00 petang**
Masa Tiba 12.50 tengah malam 7.20 malam

 

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast