PUTRAJAYA – keputusan mengurangkan kuota Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada 200 liter sebulan dibuat selepas kerajaan mempertimbangkan cabaran jangka masa panjang.
Mengakui ada pihak yang mengeluh dan tidak berpuas hati dengan langkah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dilakukan bagi mengelakkan rakyat berdepan dengan kesan kenaikan harga bahan api itu pada masa depan.
“Saya boleh luluskan (kembalikan kuota asal) bagi menyenangkan rakyat dan bagi semua happy (gembira) sementara, selepas itu masing-masing akan terima beban. Tak boleh.
“Apa-apa dasar yang diputuskan oleh kerajaan telah memikirkan cabaran kini dan cabaran masa depan. Apa yang kita boleh lakukan, kita lakukan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Kerajaan bermula 1 April lalu, menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
Ia bagi memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia. -MalaysiaGazette
















