Rakaman yang tular menunjukkan seorang lelaki bertindak mengamuk dengan menggunakan pisau pemotong daging di sebuah restoran makanan laut selepas diminta pemilik kedai supaya dia membayar melangsaikan hutang lampau dalam kejadian di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang, Kuala Langat semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bertindak mengamuk dengan menggunakan pisau pemotong daging di sebuah restoran makanan laut selepas diminta pemilik kedai supaya dia melangsaikan hutang lampau dalam kejadian di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang, Kuala Langat semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 itu, suspek yang berusia 30-an dan tidak bekerja berjaya ditahan pihak polis selepas mengancam keselamatan orang awam dan anggota bertugas.

Terdahulu, menurut beliau, maklumat kejadian itu diterima daripada anggota MPV Sektor 4 Telok Panglima Garang sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, suspek didapati bertindak agresif serta memecahkan pelbagai barangan di restoran berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek turut merosakkan tiga kenderaan milik orang awam di sekitar kawasan tersebut.

“Lelaki itu juga dilaporkan bertindak ganas dengan melibas senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV, sekali gus mengancam keselamatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata, suspek yang mempunyai empat rekod jenayah dan satu berkaitan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam tanpa kebenaran sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kejadian lain, Mohd Akmalrizal berkata, pihaknya sedang giat mengesan seorang lelaki disyaki mencuri tayar dan rim sebuah van milik penduduk di Kampung Olak Lempit, Banting, Selangor kelmarin kira-kira pukul 11 pagi, selepas menerima laporan daripada mangsa yang dimaklumkan oleh jirannya mengenai kejadian tersebut.

Katanya, suspek dipercayai datang ke lokasi dengan menaiki sebuah kereta yang telah dikenal pasti.

Kejadian itu turut dirakam dan video berkaitan kini tular di media sosial.

Ujarnya, usaha mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas sedang dijalankan secara aktif bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast