Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berpandangan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh mana-mana pihak termasuk bukan Islam adalah harus dengan syarat-syarat yang dipatuhi secara jelas.

Menurutnya, penganjuran itu tiada halangan sekiranya tidak diadakan di premis ibadat seperti kawasan sembahan tokong, serta tiada penglibatan ritual keagamaan bukan Islam dalam program tersebut.

Selain itu, katanya, penganjuran tersebut juga harus jika makanan dan minuman disediakan adalah halal serta diyakini kebersihannya, serta program berkenaan kekal sebagai acara sosial, bukan mencampuradukkan amalan keagamaan.

Ujar beliau, meskipun ada kebimbangan salah faham dalam kalangan masyarakat awam, ia bukan alasan untuk menjadi taboo, sebaliknya perlu diwacana secara sihat khususnya dalam latar kemajmukan Malaysia.

“Saya mengajak semua pihak untuk melihat isu ini dengan hikmah, berasaskan ilmu dan prinsip syariah yang seimbang agar kita dapat terus membina masyarakat dan negara Malaysia yang bersatu padu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, rumah terbuka Aidilfitri telah berkembang sebagai suatu adat dan alat sosial dalam budaya rakyat Malaysia.

Ujarnya, ia berfungsi sebagai medium mengeratkan silaturahim dan memperkukuh keharmonian antara kaum.

Dari sudut syariah, kata beliau, Islam tidak menolak interaksi sosial dan hubungan baik antara penganut agama berbeza, apatah lagi dalam realiti kepelbagaian seperti di Malaysia.

“Firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 menegaskan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa untuk saling mengenali (lita’arafu).

“Apapun, pendekatan hukum masih perlu menilai keseimbangan antara penjagaan agama (Hifz al-Din) dan maslahah sosial (perpaduan dan keharmonian).

“Hal ini sangat ditekankan dalam maqasid syariah,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dirancang dianjurkan persatuan tokong berhampiran sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bagan Ajam, Butterworth pada 11 April ini dibatalkan.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, keputusan pembatalan program asal yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu susulan aduan yang diterima berkaitan kekeliruan poster penganjuran majlis tersebut.

Difahamkan, sebagai alternatif, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long Pulau Pinang akan menganjurkan Majlis Jamuan Perpaduan bersama penduduk Bagan Ajam pada 11 April ini, pukul 8 malam di Dewan Panorama Bagan Ajam. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast