KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 premis dipercayai kilang haram memproses sisa komponen elektronik (e-waste) digempur menerusi Op Hazard 3.0 yang dilancarkan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Johor pada 6 April lalu.
Serbuan itu dilaksanakan oleh Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Pasukan Gerakan Udara, Unit AMLA Bukit Aman, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemel Hawari berkata, serbuan itu dilaksanakan bermula pukul 10.30 pagi melibatkan 14 lokasi di bawah kawasannya di Selangor, Negeri Sembilan, Johor secara serentak.
“Hasil serbuan itu, seramai 56 warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan melibatkan 48 lelaki dan lapan wanita daripada China, Myanmar dan Bangladesh.
“Semakan mendapati, kesemua tangkapan adalah pekerja kilang yang menerima gaji sekitar RM1,000 hingga RM1,200 sebulan dan kilang terbabit dipercayai telah beroperasi dua hingga tiga tahun.
“Setakat ini, kami masih siasat pemilik kilang tersebut kerana disyaki ada yang warga tempatan dan luar negara, kesemua barangan e-waste itu dipercayai diimport dari luar negara, namun siasatan masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Op Hazard 3.0 di Markas Briged Tengah PGA, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JAS Selangor, Datuk Wandi Yadzid Yaakob.
Tambah beliau, pihaknya turut merampas pelbagai barangan antaranya 1,400 tan barangan e-waste, barang lusuh dan produk akhir yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM187 juta.
“Kesemua serbuan disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2021, Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Ia termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktivti Haram 2001 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Hakemel menambah, sebanyak 140 serbuan telah dijalankan Briged Tengah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sejak Januari hingga 9 April lalu.
“Hasil serbuan itu, kita telah menangkap seramai 394 individu membabitkan rampasan bernilai RM216 juta.
“Polis menegaskan komitmen untuk membanteras jenayah ini dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigkan,” jelasnya.

Sementara itu, Wandi Yadzid berkata, sebanyak 27 premis dikesan beroperasi tanpa kelulusan menerusi setakat operasi Op Hazard 3.0.
Katanya, antara kesalahan utama dikesan adalah memproses e-waste tanpa lesen serta membuka premis tanpa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
“Kesalahan ini membabitkan Seksyen 18, 19, 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Denda maksimum bagi kesalahan ini adalah sehingga RM10 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Jelas beliau, e-waste diklasifikasikan sebagai buangan terjadual yang memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar untuk diproses atau dikendalikan.
“Pemprosesan e-waste tanpa kelulusan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Buangan Terjadual 2005. Tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti secara haram.
“JAS akan terus memantau dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan terhadap premis yang melanggar undang-undang,” katanya.
Ketika ditanya sama produk e-waste yang dirampas itu membabitkan e-waste yang diseludup dari negara luar, beliau berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















