Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat dalam menghadapi krisis tenaga global, bukannya memuji diri sendiri atau menekan rakyat dengan naratif “perlu bersyukur”.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu menegaskan, rakyat tidak memerlukan seruan untuk bersyukur, sebaliknya kerajaan perlu membuktikan prestasi yang benar-benar layak untuk dihargai melalui kecekapan, hasil dan keikhlasan dalam pentadbiran.

Menurutnya, kerajaan yang berjaya mengawal kenaikan harga, memperbaiki perkhidmatan awam, membanteras rasuah serta memulihkan ekonomi akan secara semula jadi mendapat penghargaan rakyat tanpa perlu meminta.

“Namun, jika perkara asas tersebut gagal dilaksanakan, seruan untuk rakyat bersyukur hanya dilihat sebagai usaha menutup kelemahan pentadbiran.

“Kerajaan seharusnya terlebih dahulu berterima kasih kepada rakyat kerana mereka yang menanggung kesan dasar yang tidak berkesan, membayar harga inflasi dan terus memberi kepercayaan walaupun janji tidak ditunaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam situasi krisis tenaga global ketika ini, rakyat seharusnya melihat langkah berkesan kerajaan dalam mengawal inflasi, meringankan kos sara hidup serta meningkatkan kecekapan pentadbiran, bukannya mengalihkan perhatian kepada isu lain.

“Apabila kerajaan mula meminta rakyat bersyukur, itu menunjukkan kegagalan untuk membentangkan prestasi yang meyakinkan,” jelasnya.

Dominic turut menegaskan bahawa, rakyat berhak menilai prestasi kerajaan secara rasional dan bukan sekadar menerima naratif politik secara pasif.

Katanya, kerajaan yang benar-benar berprestasi tidak perlu meminta penghargaan kerana undi rakyat adalah bentuk pengiktirafan paling jelas.

Menyentuh isu tenaga, Dominic menjelaskan bahawa, penggunaan RON95 masih boleh dikurangkan melalui perubahan gaya hidup seperti berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, ujarnya, diesel disifatkan sebagai nadi kepada operasi ekonomi negara kerana sektor logistik, pembuatan, pertanian, pembinaan, pelancongan, perladangan dan perlombongan bergantung kepadanya.

“Kenaikan harga diesel bukan sekadar melibatkan kos bahan api, tetapi memberi kesan berantai kepada keseluruhan rantaian bekalan sehingga akhirnya ditanggung oleh pengguna. Yang meningkat bukan sekadar harga diesel, tetapi tekanan hidup rakyat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian terdahulu pihak tertentu yang pernah menyatakan bahawa tiada negara di mana harga diesel lebih tinggi daripada petrol.

“Hari ini, harga diesel terus meningkat dan mencatat rekod baharu. Di manakah prinsip tersebut sekarang?” soalnya.

Menurut beliau, dunia kini berdepan krisis tenaga bersifat struktur melibatkan pasaran minyak, gas asli, elektrik dan arang batu yang memerlukan tindakan dasar berkesan, bukan sekadar retorik.

Dominic turut menegaskan, rakyat tidak perlu diajar untuk bersyukur, sebaliknya hanya memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar berkemampuan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast