Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua kiri) membuat gimik perasmian Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 di KKM, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bekalan ubat di negara ini masih stabil sekurang-kurangnya hingga hujung Jun ini, namun rakyat perlu bersedia berdepan lonjakan harga yang semakin ketara susulan tekanan kos global.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini tiada gangguan terhadap bekalan ubat penting walaupun timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai isu tersebut.

“Saya boleh kata begitu sebab kita bukan hanya ada stok simpanan kita, kita ada juga industri kita, jadi kurang lebih saya tidak mahu mengambil mudah, tetapi saya mahukan ia tidak juga mencetuskan panik.

“Tetapi pada waktu yang sama, saya akan mengambil langkah-langkah untuk seterusnya menangani bekalan ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Hari Pendengaran Sedunia di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan langkah pengukuhan akan dipertingkat bagi memastikan bekalan ubat dan peranti perubatan terus terjamin susulan kesan krisis tenaga global terhadap rantaian bekalan.

Menurut kementerian itu, krisis berkenaan menjejaskan penghantaran serta akses kepada beberapa peranti perubatan kritikal, khususnya produk import berisiko tinggi, selain menekan keupayaan pembekal memenuhi obligasi kontrak.

Dalam masa sama, Dzulkefly menegaskan bekalan ubat negara tidak bergantung semata-mata kepada stok kerajaan kerana industri farmaseutikal turut mempunyai simpanan masing-masing.

Beliau turut menekankan kepentingan perkongsian data antara semua pihak berkepentingan bagi memastikan bekalan ubat-ubatan penting sentiasa mencukupi.

“Tidak ada yang akan ke tandusan ataupun kekurangan ubat-ubatan penting.

“Tidak ada siapa yang seharusnya boleh menyimpan ubat-ubat itu, itu adalah tanggungjawab nasional,” ujarnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media selepas Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 di KKM, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2026.

Namun, di sebalik jaminan bekalan, beliau mengakui kos ubat kini meningkat ketara akibat faktor luaran termasuk logistik dan kenaikan harga bahan api.

“Memang kita dapati kos kenaikan harga ubat-ubatan itu pun berlaku dalam kurang lebih 30 hingga 40 peratus dan peranti-peranti perubatan lebih tinggi sikit lagi,” jelasnya.

Tambah beliau, terdapat kes tertentu yang menyaksikan kenaikan harga peranti perubatan sehingga mencecah antara 50 hingga 100 peratus, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan kini meneliti pelbagai langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kekal mampan tanpa menjejaskan akses rakyat kepada rawatan yang diperlukan.

“Setakat ini belum ada yang terkesan yang saya tahu Ketua Pengarah Kesihatan sentiasa memberikan saya update mengenai perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast