Tertuduh didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya menggunakan kerusi plastik minggu lalu.

MELAKA – Seorang bapa didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya menggunakan kerusi selepas wanita itu memarahi anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) minggu lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhi hukuman itu selepas penganggur, Mohd Hairi Majid, 48, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 41 tahun dengan cara memukul mangsa menggunakan kerusi plastik.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang 3 April lalu di sebuah rumah beralamat di Taman Pengkalan Minyak Damai yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Kes disiasat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Sarjan Mohd Ridhuan Bachok@ Nong Chik.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian berlaku pertengkaran mulut antara pasangan berkenaan yang berpunca apabila isteri tertuduh memarahi anaknya yang merupakan OKU semasa sedang memandikan dan mempersiapkan keperluannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu memohon agar hukuman denda dikurangkan memandangkan ia merupakan kesalahan pertamanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast