ISLAMABAD – Keselamatan dipertingkatkan di ibu negara Pakistan pada Jumaat menjelang rundingan damai penting antara pegawai Iran dan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang di Asia Barat, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pakistan menonjol dalam beberapa bulan kebelakangan ini sebagai pengantara utama antara Tehran dan Washington, memainkan peranan penting sebagai orang tengah gencatan senjata selama dua minggu yang diumumkan awal minggu ini.
Rundingan di Islamabad dijangka bermula pada Jumaat dengan perbincangan awal antara pakar, sebelum mesyuarat utama pada Sabtu, menurut sumber keselamatan Pakistan.
Rundingan mungkin dilanjutkan hingga Ahad jika perlu.
Sebanyak 10,000 anggota keselamatan termasuk tentera, pasukan separa tentera dan polis, telah ditugaskan untuk menjaga keselamatan berhubung rundingan itu selain operasi perisikan.
Cuti tempatan telah pun diisytiharkan untuk mengurangkan pergerakan penduduk manakala “zon merah” keselamatan tinggi yang menempatkan bangunan utama kerajaan dan kedutaan asing, ditutup kepada orang awam dan dikawal ketat.
Rundingan dijangka berlangsung di sebuah hotel di zon merah yang telah pun dikosongkan untuk tujuan keselamatan.
Pasukan keselamatan dari negara yang mengambil bahagian telah tiba dan sedang menyelaras rapat dengan pihak berkuasa Pakistan, menyelia pengaturan dan menjalankan penilaian tempat dan laluan.
Kerajaan Pakistan juga telah melonggarkan sekatan visa susulan delegasi dan wartawan mula tiba di Islamabad.
“Pakistan mengalu-alukan semua delegasi termasuk wartawan dari negara yang mengambil bahagian, melakukan perjalanan berkaitan Islamabad Talks 2026,” menurut hantaran Menteri Luar Ishaq Dar di X.
“Untuk tujuan ini, semua syarikat penerbangan diminta membenarkan individu terbabit menaiki pesawat tanpa visa,” tambahnya. “Pihak berkuasa imigresen di Pakistan akan mengeluarkan untuk mereka visa semasa ketibaan.” — BERNAMA-dpa
















