Azizee Ismail.

GEORGE TOWN – Kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau ahlong yang menyasarkan penjaja dan peniaga kecil di sekitar negeri ini terbongkar selepas lima lelaki tempatan diberkas dalam satu operasi khas pada Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 29 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang menerusi Ops Vulture di sekitar George Town.

“Kesemua suspek mengaku menjalankan kegiatan tersebut di sekitar George Town dengan menawarkan pinjaman pada kadar faedah lima hingga 10 peratus bagi tempoh mingguan dan bulanan mengikut keselesaan peminjam.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu menawarkan pinjaman secara dalam talian dan bersemuka, dengan sasaran utama terdiri daripada penjaja serta peniaga kecil di sekitar Pulau Pinang.

“Mereka turut menawarkan pinjaman kepada peminjam di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Azizee, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku menjalankan kegiatan itu sejak 2022 dan merupakan rakan kongsi antara satu sama lain.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM250,000 hingga RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pinjaman dengan ahlong kerana ia bukan sahaja membebankan daripada segi kewangan malah boleh mengundang ancaman keselamatan dan jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast