Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan siasatan kes ‘mafia korporat’ setakat ini tidak melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, beberapa individu telah dikenal pasti bagi membantu siasatan, termasuk melibatkan mereka yang berada di dalam dan luar negara.

“Kes ini masih berada pada peringkat awal siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan dimuktamadkan.

“Siasatan tetap diteruskan seperti yang diarahkan,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan melibatkan pihak luar negara, sekali gus memerlukan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) serta agensi berkaitan.

Terdahulu, PDRM mengesahkan serbuan dilakukan ke atas beberapa premis milik ahli perniagaan, Victor Chin yang didakwa mempunyai kaitan dengan mafia korporat.

Media sebelum ini melaporkan premis milik individu berkenaan diserbu bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan PDRM, dengan beberapa dokumen turut disita bagi membantu siasatan.

Susulan itu, Victor dilaporkan menafikan pembabitannya dalam kegiatan mafia korporat seperti yang didakwa.

Menerusi kenyataan e-mel kepada Bloomberg, beliau tidak menafikan kewujudan kumpulan berkenaan, namun menegaskan dirinya tidak terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast