Tangkap layar menunjukkan dua beradik tersebut cedera akibat dirempuh sebuah kereta di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang pada 7 April lalu.

GEORGE TOWN – Polis meminta orang awam yang menyaksikan atau mempunyai rakaman dashcam berkaitan kejadian dua beradik dirempuh kereta di Jalan Paya Terubong di sini, pada 7 April lalu tampil membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.10 malam berhampiran SJK(C) Aik Hua ketika kedua-dua mangsa dikatakan cuba melintas jalan.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.05 tengah hari pada keesokan hari.

“Pemandu lelaki warga tempatan berumur 37 tahun telah terlanggar remaja perempuan berusia 18 tahun dan adik lelakinya berumur 12 tahun yang dipercayai ingin melintas jalan semasa kejadian.

“Dalam kejadian itu, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan manakala kedua-dua orang pejalan kaki mengalami pelbagai kecederaan di bahagian kepala, muka, kaki dan tangan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Tambah Swee Sake, orang awam yang melihat atau mempunyai rakaman papan pemuka kenderaan berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan pihak polis dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Lim Zhao Yong di talian 011-1907 8888.

“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Semalam tular satu rakaman video berdurasi tujuh saat memaparkan seorang wanita tertiarap atas jalan, manakala adik lelakinya duduk bersebelahnya dalam keadaan cedera akibat dilanggar sebuah kereta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast