Video tular memaparkan sekumpulan pelajar bergaduh depan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, Iskandar Puteri, semalam.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan 15 individu bagi membantu siasatan kes sekumpulan pelajar sekolah menengah bergaduh di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, video kejadian itu yang berdurasi 29 saat tular di dalam media sosial hari ini, dan pihaknya menerima laporan polis pukul 12.45 tengah hari.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis bersama-sama Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat tangkapan pada pukul 3 petang.

“Seramai 15 suspek ditangkap terdiri daripada 13 kanak-kanak lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia 12 hingga 37 tahun di kawasan Nuda Bestari dan Iskandar Puteri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, insiden itu berpunca apabila seorang daripada suspek ditampar hingga mengakibatkan pergaduhan selepas waktu sekolah.

Jelasnya, reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) ke atas dua suspek wanita tempatan dikenakan selama tiga hari bermula hari ini.

Sementara itu, ujar beliau, 13 kanak-kanak lelaki direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 April ini untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Tambah beliau, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kumarasan berkata, sebarang maklumat kejadian itu boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri di 07-5113622 @hotline 07-5114486.

Terdahulu tular di dalam media sosial insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar sekolah menengah di hadapan sebuah sekolah di kawasan Bandar Selesa Jaya.

Rakaman video yang memaparkan aksi tolak-menolak dan pukul-memukul sesama pelajar tersebar luas dalam media sosial sehingga melahirkan kebimbangan Ibu bapa – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast