KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan kehadiran Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Parlimen itu semalam, memberi isyarat politik yang cukup jelas.
Dakwanya, PKR sedang bersedia untuk segala kemungkinan, termasuk pilihan raya kecil (PRK).
Semalam, Anwar yang juga Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussa’adah, di Kampung Cheras Baru iaitu di bawah Parlimen Pandan.
Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, isu surat tunjuk sebab terbaharu PKR terhadapnya dan apa yang bakal berlaku selepas ini sudah menunjukkan arah yang jelas.
Ujarnya, apabila pertuduhan rasmi sudah dikeluarkan, ia bermakna proses itu sudah sampai ke peringkat akhir untuk tindakan diambil.
“Sudah nampak juga gerakan itu disusun berperingkat.
“Bermula dari Ketua Cabang, kemudian pimpinan negeri, kemudian pimpinan yang lebih tinggi.
“Semua bawa mesej yang sama, iaitu saya perlu letak jawatan dan keluar parti. Bila susunan itu berlaku serentak, itu bukan kebetulan. Itu keputusan politik yang sedang disediakan.
“Kita pernah tengok pola yang sama sebelum ini. Sebab itu saya kata, ini budaya lama politik dalaman yang kini dibawa masuk semula ke dalam PKR,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, daripada apa yang berlaku ketika ini, beliau menjangkakan PKR tidak akan memecatnya secara langsung.
Sebaliknya, kata beliau, PKR akan mengambil jalan mentafsir kenyataan dan pendiriannya sebagai telah keluar parti.
Jelasnya, itu juga sememangnya sudah pun dibayangkan di dalam surat tunjuk sebab pertama oleh Setiausaha Agung PKR terhadapnya.
“Kenapa? Sebab kalau saya dipecat, saya kekal sebagai Ahli Parlimen.
“Tetapi kalau saya dianggap keluar parti, implikasinya lain.
“Sebab itu kehadiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Pandan semalam memberi isyarat politik yang cukup jelas. PKR sedang bersedia untuk segala kemungkinan, termasuk pilihan raya kecil.
“Jadi bagi saya, surat tunjuk sebab ini besar kemungkinan akan berakhir seperti yang disebut Fuziah Salleh sebelum ini. PKR akan mentafsir pendirian saya sebagai tindakan keluar parti,” katanya.
Bagaimanapun, Rafizi menegaskan perkara itu sebagai sesuatu yang pelik yang mana beliau tidak pernah melihat parti lain mengambil jalan sebegitu.
“Tafsir sendiri pendirian ahli sebagai keluar parti, hanya untuk elak memecat secara rasmi tetapi pada masa yang sama membuka jalan kepada kehilangan kerusi,” katanya. – MalaysiaGazette
















