MELAKA – Seorang lelaki sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan bersembunyi di bawah kompresor pendingin hawa di luar tingkap tingkat 13 sebuah kondominium di Kota Laksamana di sini, bagi mengelak dicekup khalwat, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, tindakan berbahaya lelaki berusia 26 tahun itu terbongkar selepas dikesan Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) susulan aduan awam.
Menurut sumber, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek pada awalnya enggan membuka pintu sebelum wanita berusia 25 tahun yang bekerja di syarikat swasta akhirnya akur.
“Pada awalnya, wanita itu yang masih bujang mendakwa dia bersendirian dan pemeriksaan awal di dalam rumah, koridor tingkat 13 serta luar tingkap juga tidak menjumpai individu lain.
“Namun, pemeriksaan lanjut PPA dengan bantuan lampu suluh di bahagian bawah kompresor pendingin hawa di luar tingkap menemukan tindakan ‘berani mati’ suspek lelaki tanpa baju dalam keadaan terbaring di situ,” katanya.
Jelasnya, keadaan itu mencetuskan kebimbangan memandangkan kedudukannya yang berisiko tinggi untuk terjatuh dari aras 13 bangunan tersebut.
“Hasil siasatan lanjut, eksekutif pemasaran itu mengaku sudah berkahwin, namun dalam proses perceraian, manakala wanita terbabit masih bujang.
“Kedua-duanya mengaku tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri sebelum mereka ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat,” katanya.
Pasangan itu kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















