Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes gangguan seksual di dalam tren berjaya ditahan oleh pasukan Polis Bantuan Prasarana.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, suspek yang merupakan warga asing berusia 19 tahun itu ditahan ketika operasi mengesannya dijalankan.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan laporan saksi pada Rabu lalu, yang mendakwa seorang lelaki telah mengganggu seorang penumpang wanita di dalam tren Laluan Kelana Jaya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan juga dipercayai terlibat dalam satu lagi kes gangguan seksual yang berlaku di Stesen Kuchai, Laluan Putrajaya.

“Tindakan pantas pasukan Polis Bantuan Prasarana yang berjaya mengesan dan menahan suspek dalam kurang dari 24 jam, mencerminkan tahap kesiapsiagaan serta kecekapan Polis Bantuan Prasarana dalam memastikan keselamatan pengguna,” katanya.

Tambahnya, suspek telah dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan selanjutnya.

Ujarnya, pihak Rapid Rail akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan.

“Rapid Rail selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL menyeru semua pengguna agar segera membuat laporan kepada pegawai stesen atau anggota Polis Bantuan Prasarana yang bertugas sekiranya melihat atau menjadi mangsa sebarang gangguan supaya tindakan pantas dan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Sebelum ini, Rapid KL mengesahkan menerima laporan daripada seorang penumpang wanita yang mendakwa dihimpit rapat oleh seorang lelaki ketika berada di dalam tren Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya seperti tular di laman sosial X.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, kejadian dilaporkan berlaku sewaktu pengadu menaiki tren berkenaan dari Stesen LRT Pasar Seni kira-kira pukul 7 malam.

Terdahulu, pemilik akaun X dengan nama @Fyza_anuar berkongsi situasi menimpa rakannya yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual sewaktu menaiki kemudahan tren LRT Laluan Kelana Jaya.

Menerusi ciapan itu, pelaku dikatakan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dengan bentuk fizikal tinggi serta berbadan gempal. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast