JOHOR BAHRU – Industri nanas Malaysia dilihat masih kekal berdaya tahan walaupun berdepan tekanan krisis tenaga global yang memberi kesan terhadap ekonomi dunia.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kenaikan harga minyak akibat konflik tenaga global meningkatkan kos pengangkutan serta kos input pertanian seperti baja dan racun di samping menjejaskan kelancaran rantaian bekalan.
“Ketidaktentuan ekonomi dunia juga berpotensi mengurangkan permintaan eksport, sekali gus memberi tekanan kepada pengeluar dan petani tempatan.
“Dalam konteks industri nanas, kesan ini turut dirasai terutamanya melalui peningkatan kos penghantaran serta kemungkinan penyusutan permintaan eksport,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun begitu, beliau menjelaskan, industri nanas negara masih mampu bertahan kerana permintaan domestik yang kekal kukuh dan menjadi penyokong utama pasaran dianggarkan sekitar 60 peratus daripada keseluruhan permintaan.
Katanya, kekuatan pasaran tempatan itu membantu menstabilkan harga walaupun eksport dijangka terjejas sekali gus membolehkan hasil pengeluaran terus diserap dalam negara.
Selain itu, katanya, industri nanas Malaysia juga tidak bergantung kepada satu pasaran eksport sahaja.
Usaha berterusan LPNM bersama-sama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperluaskan pasaran ke pelbagai negara termasuk China, Jepun, Korea, Singapura, Australia dan New Zealand, katanya.
“Kepelbagaian pasaran ini memberi kelebihan strategik. Jika satu pasaran terjejas, pasaran lain masih boleh menjadi alternatif,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan harapan agar konflik di Timur Tengah dapat diselesaikan segera bagi memastikan kestabilan ekonomi global.
Menurutnya, keadaan yang stabil akan membantu pemulihan pasaran eksport dan memberi manfaat kepada sektor pertanian negara.
Dalam pada itu, Sheikh Umar menggalakkan rakyat meneroka potensi penanaman nanas sebagai sumber pendapatan tambahan, khususnya dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.
“Nanas merupakan tanaman yang praktikal dan berpotensi tinggi. Sehingga 2024, nilai dagangannya melebihi RM1 bilion,” katanya.
Beliau berkata, tanaman nanas boleh diusahakan secara selingan di kawasan ladang seperti sawit selain mengoptimumkan tanah terbiar melalui penanaman berkelompok.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan pekebun kecil, malah berpotensi mengukuhkan ekonomi komuniti luar bandar,” katanya.- MalaysiaGazette















