MELAKA – Cadangan menubuhkan parti politik baharu bukan jalan terbaik dalam landskap semasa, sebaliknya usaha memperkukuh parti sedia ada dianggap lebih relevan untuk masa depan perjuangan rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keutamaan ketika ini bukan sekadar menubuhkan organisasi baharu, tetapi memastikan parti yang ada mampu menarik minat rakyat serta kekal relevan dalam jangka panjang.
Menurutnya, parti tidak boleh sekadar menjadi platform pertemuan atau aktiviti semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan sebagai satu perjuangan yang jelas dan berprinsip.
“Saya memaklumkan ada orang tanya, parti baharu atau parti lama? Bagaimana? Saya nak katakan, saya tak bersetuju untuk kita menubuhkan parti baharu.
“Tapi kalau kita masuk parti lama dan kita perbesarkan, itu saya bersetuju…saya hanya mahukan rumah, itu sahaja.
“Yang penting kita buktikan rumah yang kita masuk nanti adalah satu-satunya yang akan kita perbesar dan kita resetkan untuk menjadi perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Pagi Aidilfitri Reset Melaka di Peringgit Point di sini ini.
Hadir sama wakil Reset Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu menafikan pelbagai spekulasi berhubung hala tuju politiknya termasuk dakwaan menyertai mana-mana parti tertentu.
Katanya, desas-desus yang timbul bukanlah satu kepastian dan keputusan mengenai platform politik beliau hanya akan diumumkan pada masa sesuai.
“Dalam politik ini, desas-desus itu bukan kepastian,” katanya sambil turut menolak dakwaan tidak mempunyai sokongan, sebaliknya memberi bayangan bahawa pengaruhnya masih kuat berdasarkan minat dan perhatian yang diterima.
Menurutnya, sokongan itu bukan sahaja datang daripada penyokong lama, malah melibatkan sekurang-kurangnya 18 bekas Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadapnya sebelum ini.
“Saya telah dapat sokongan 18 daripada Ahli Parlimen yang dahulunya bersama parti lama, kemudian menjadi 19 termasuk saya.
“Kalau saya dah bersama dengan semua penyokong saya, yang tinggal hanya enam orang sahaja (daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu) nak cakap apa?
“Yang kata saya berlegar-legar ini apa? Engkau yang kecil berlegar-legar itu rasalah sedar diri sikit,” katanya. – MalaysiaGazette
















