Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melihat Varieti Padi Clearfield Baharu Mardi MR CL3 dan MR CL4 sempena pengisytiharan varieti padi tersebut, di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Service Sdn Bhd, FELCRA Seberang Perak, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjawab dakwaan kononnya kerajaan tidak mempedulikan nasib pesawah sejak harga bahan api melonjak.

Menerusi laman sosial Facebooknya, Mohamad berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah jelas iaitu memastikan makanan asas sentiasa ada di atas meja rakyat.

Disebabkan itu, menurut beliau, KPKM antara kementerian terawal dipanggil untuk membentangkan situasi bekalan serta cadangan intervensi kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, antara keputusan awal yang telah diluluskan ialah penambahan stok penimbal beras melibatkan dana tambahan lebih RM100 juta.

Cadangan lain, tambah beliau, seperti fleet card untuk jentera pertanian, tambahan kadar Insentif Pembajakan dan insentif Penuaian Padi, kuota diesel kepada vesel C2 serta bantuan one-off kepada pekebun masih dalam penelitian kerana melibatkan komitmen kewangan yang besar.

“Jadi tidak adil untuk mengatakan Kerajaan tidak peduli.

“Permohonan telah pun diangkat sejak selepas cuti Hari Aidilfitri lagi.

“Namun dalam keadaan krisis, setiap sen perbelanjaan awam perlu diteliti dengan cermat,” katanya.

Mohamad turut menarik perhatian terhadap Belanjawan 2026 yang mana subsektor padi dan beras menerima peruntukan sebanyak RM2.62 bilion.

Bantuan itu, katanya, merangkumi subsidi harga padi, subsidi baja, insentif benih padi sah serta pelbagai insentif pengeluaran.

Selain itu, ujar beliau, lebih 50 peratus daripada bajet pengurusan KPKM disalurkan kepada subsektor padi dan beras, menunjukkan komitmen yang besar terhadap kelangsungan subsektor padi dan beras dan kebajikan pesawah.

Namun, tambahnya, cabaran sebenar bukan sekadar jumlah bantuan, tetapi isunya adalah struktur industri yang telah lama tidak diperbaiki.

“Dulu Malaysia pernah mempunyai asas pertanian yang lebih kukuh.

“Namun apabila negara beralih kepada ekonomi perindustrian, sektor ini tidak lagi diberi penekanan yang sama menyebabkan saban tahun kebergantungan kepada import semakin meningkat.

“Sebab itu, bantuan semata-mata tidak mencukupi. Kita memerlukan perubahan menyeluruh penggunaan teknologi moden, pengurusan sawah berskala besar, sistem pengairan yang lebih cekap serta disiplin dalam rantaian bekalan,” katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, langkah ke arah itu sudah pun bermula, namun ia tidak mendatangkan hasil yang serta-merta.

“Kita boleh mengkritik, itu hak semua. Tetapi biarlah kritikan berasaskan fakta, bukan sentimen atau atas kepentingan politik sempit.

“Akhir sekali, dalam keadaan tekanan harga input pertanian dunia yang tidak dapat dielakkan, utamakanlah keperluan, hindari pembaziran dan elakkan pembelian panik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast