Steven Sim Chee Keong dalam pertemuan dengan pengurusan TNB bagi membincangkan langkah sokongan kepada PMKS dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) SME Corp. Malaysia mencadangkan agar penyelarasan insentif atau tarif yang lebih bersesuaian dipertimbangkan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.

Selain itu, Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha akan dipergiat untuk memperluas penggunaan skim Time-of-Use (ToU) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kalangan PMKS melalui kempen bersama bagi membantu perniagaan mengoptimumkan penggunaan elektrik dan seterusnya mengurangkan kos operasi.

Dalam masa sama, ujarnya, Kuskop dan TNB juga akan memperkukuh kerjasama dalam aspek pendigitalan dan peralihan tenaga termasuk memperluas akses PMKS kepada pemasangan solar melalui model pembiayaan yang lebih fleksibel seperti zero capex, selaras dengan agenda ESG dan usaha mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu.

Terdahulu, Steven Sim semalam mengadakan pertemuan dengan TNB yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad, bagi membincangkan langkah sokongan kepada PMKS dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.

Dalam pertemuan itu, perbincangan memberi tumpuan kepada langkah praktikal bagi membantu PMKS mengurus kos operasi dengan lebih berkesan, menambah baik aliran tunai serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (RE).

“Pertemuan ini berlaku susulan krisis tenaga global yang turut menjejaskan Malaysia dan memberi tekanan besar kepada PMKS yang beroperasi dengan margin terhad, khususnya dari segi kos elektrik dan operasi harian.

“Justeru, langkah Kuskop dan TNB ini bertujuan untuk membantu perniagaan mengurus kos melalui kecekapan tenaga, penggunaan skim seperti ToU serta peralihan kepada tenaga boleh baharu sekali gus memastikan kelangsungan operasi dalam menghadapi ketidaktentuan tenaga global,” kata Kuskop dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dari segi pembangunan kapasiti, Kuskop dan TNB akan bekerjasama melalui INSKEN untuk memperluas program latihan dan pembangunan keupayaan usahawan meliputi aspek pengurusan kewangan serta pengembangan dan penskalaan perniagaan.

Sementara itu, Steven Sim menerusi kenyataan sama dilaporkan menegaskan kepentingan membuka lebih banyak ruang kepada PMKS untuk menyertai ekosistem peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) termasuk penglibatan dalam sektor baharu seperti solar, kenderaan elektrik (EV), pusat data serta teknologi tenaga melalui platform seperti Energy Transition Conference.

Menurut beliau, Kuskop akan bekerjasama rapat dengan TNB untuk meneroka insentif bersasar serta memperluas kesedaran bagi memastikan lebih ramai PMKS dapat memanfaatkan inisiatif itu.

“Dengan menggabungkan usaha pengurusan kos dan peluang peralihan tenaga, kita mahu memastikan PMKS Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia untuk berkembang ke pasaran baharu,” katanya.

Tambahnya, usaha itu selaras dengan agenda Kuskop untuk Hebatkan Perniagaan Malaysia dengan strategi ABCD, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal, dan Daya Akses Pasaran. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast