JOHOR BAHRU – Kerajaan akan mengambil langkah intervensi dan meneroka sumber alternatif bahan mentah baharu susulan kenaikan harga ubat dan peranti kesihatan kesan daripada krisis tenaga global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pada masa ini antara fokus utama kerajaan adalah menjamin ketersediaan bekalan serta mencari alternatif bahan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber sedia ada.
“Langkah segera ini perlu diambil dari sekarang bagi memastikan bekalan ubat dan peranti kesihatan kekal stabil selain mengelakkan gangguan yang boleh memberi implikasi lebih besar kepada sistem kesihatan negara.
“Contohnya dari segi pembuatan peranti perubatan yang sebelum ini hanya bergantung kepada resin, kita boleh meneroka penggunaan bahan berasaskan polimer sebagai alternatif.
“Namun, perkara ini memerlukan tindakan susulan segera daripada kerajaan termasuk pengiktirafan dan persijilan terhadap bahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pelangi di sini, hari ini.
Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan negara bersedia menghadapi kemungkinan tekanan bekalan dan kenaikan harga yang dijangka berlaku sekitar Jun dan Julai ini.
Akmal Nasrullah berkata, intervensi itu perlu dibuat dari sekarang supaya tidak berdepan gangguan bekalan pada masa akan datang.
Kerajaan juga, katanya, mengakui kebanyakan barangan termasuk ubat-ubatan dan peranti kesihatan bergantung kepada tenaga bahan api sebagai input utama, sekali gus menyebabkan kenaikan kos apabila harga tenaga meningkat.
“Apabila bahan api menjadi elemen input, sudah pasti ia memberi kesan kepada kos pengeluaran dan seterusnya harga barangan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan meminta agensi kementerian pelaksana untuk meneliti secara mendalam ketersediaan bekalan serta menyusun langkah intervensi segera bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihaknya sedang memantau kenaikan harga ubat dan peranti kesihatan sehingga 40 peratus susulan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan.
Menurut beliau, kenaikan harga ubat dianggarkan antara 30 hingga 40 peratus, manakala beberapa peranti perubatan mencatat peningkatan lebih tinggi sehingga 100 peratus.
Beliau turut memaklumkan kenaikan kos itu telah mula berlaku sebelum Mac lalu, apabila pemain industri menangguhkan bekalan, sekali gus menyebabkan peningkatan harga lebih awal di pasaran.
Langkah intervensi kerajaan dijangka dapat membantu menstabilkan bekalan, mengawal tekanan kos serta memastikan rakyat terus mendapat akses kepada ubat-ubatan dan peranti kesihatan pada harga berpatutan. – MalaysiaGazette















