KUALA LUMPUR – Menteri Penaung Misi Sumud Flotilla 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari memohon doa seluruh rakyat Malaysia agar misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang akan bermula secara rasmi esok mencapai kejayaan dan berjalan lancar.
Beliau yang baru sahaja tiba di Barcelona memaklumkan, misi tersebut akan dimulakan dengan sesi pertemuan bersama para peserta dari Malaysia sebelum pelepasan rasmi kapal bantuan itu ke Gaza dilakukan.
“Alhamdulillah, saya baru sampai ke Barcelona untuk meneruskan misi Global Sumud Flotilla. Kita akan memulakan sesi bermula hari ini bersama rakan-rakan dan peserta dari Malaysia,” katanya menerusi hantaran video di Facebooknya.
Beliau turut memaklumkan pelepasan secara rasmi Global Sumud Flotilla ke Gaza akan diadakan esok.
“Doakan keselamatan dan kejayaan kami supaya misi kali ini mencapai matlamatnya. Insya-Allah, pembebasan Palestin menjadi misi utama kita,” katanya.

Misi Sumud 2.0 ini merupakan kesinambungan kepada usaha kolektif aktivis kemanusiaan antarabangsa untuk menembus sekatan di Gaza bagi menghantar bantuan bekalan perubatan dan makanan yang kritikal.
Ia turut melibatkan penyertaan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh dunia yang bersatu di bawah payung Freedom Flotilla Coalition bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus ditekan oleh krisis kemanusiaan.
Tambah Amirudin, sokongan dan doa daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keberadaan delegasi Malaysia dalam misi tersebut selamat sepanjang perjalanan menuju ke destinasi yang disasarkan.
Terdahulu, Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan hampir 40 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum merangkumi Melayu, Cina dan India terpilih untuk menyertai misi kemanusiaan antarabangsa, GSF 2.0.
Daripada jumlah tersebut, hanya seorang peserta daripada misi GSF 1.0 yang dipilih semula untuk menyertai delegasi kali ini iaitu bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA).

Pemilihan semula ZRA dibuat berdasarkan peranan khusus yang akan digalas beliau bersama pempengaruh, Ahmad Faezal sepanjang misi berkenaan untuk membentuk polisi-polisi baharu di dalam serta luar negara setelah mereka pulang nanti.
Selain daripada mereka, Sumudee tahun lepas kembali semula ke GSF 2.0 dengan syarat yang telah ditetapkan dari awal iaitu mereka hanya boleh hadir sebagai kru, ketua kapal dan sebagai medik.
Terdahulu, Pegawai Strategik Sumud Nusantara, Haikal Luqman Zulkefli memaklumkan kira-kira 3,000 sukarelawan dari seluruh dunia dijadual menyertai misi GSF 2.0 yang akan bermula pada 12 April ini.
Misi besar-besaran itu bakal menyaksikan hampir 150 buah kapal belayar secara serentak bagi menghantar bantuan ke Palestin.
Pelayaran tersebut dijadualkan bermula dari Itali sebelum singgah di beberapa buah negara lain sebagai simbolik solidariti global. – MalaysiaGazette
















