Hamzah Zainudin

MELAKA – Negara berisiko kekurangan bekalan beras dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya pesawah terus menolak untuk menanam padi susulan peningkatan kos akibat kenaikan harga diesel.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kesan itu bukan bersifat jangka panjang semata-mata sebaliknya boleh dirasai dalam tempoh terdekat jika musim penanaman ketika ini terjejas.

Menurutnya, ia ekoran kenaikan harga diesel telah meningkatkan kos penanaman sehingga mencecah hampir RM3,000 sehektar sedangkan harga lantai padi kekal rendah sekitar RM1,500 menyebabkan pesawah menanggung kerugian seawal hari menanam.

“Saya nak maklumkan, kalau orang (pesawah) dah tak tanam lagi padi di musim ini, enam bulan akan datang, kita dah tak cukup beras.

“Kos menanam padi meningkat bila harga diesel naik menyebabkan ramai pesawah mula tidak mahu menanam dan jika hal ini tidak ditangani segera, ia memberi kesan kepada keselamatan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Jamuan Pagi Aidilfitri Reset Melaka di Peringgit Point di sini hari ini.

Hadir sama wakil Reset Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Hamzah yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menegaskan, kebergantungan kepada import bukan penyelesaian mudah kerana kos pengeluaran di negara luar seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam juga meningkat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera mengambil tindakan termasuk mengkaji semula harga lantai padi dan mengadakan perbincangan menyeluruh bagi memastikan pesawah terus menanam padi.

“Isu food security ini adalah satu perkara besar untuk rakyat dalam negara dan sepatutnya kerajaan panggil mesyuarat untuk kita bincang bersama.

“Kalau tak nak pun Parlimen dibuka (dibincangkan), tubuhkan jawatankuasa, panggil di kalangan ahli-ahli Parlimen sama ada pembangkang dan kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast