BATU CAVES – Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar menegaskan keperluan mendesak untuk meningkatkan kefahaman terhadap undang-undang tanah dan perancangan bandar bagi mengelakkan isu rumah ibadat tidak berdaftar terus berulang.
Beliau berkata, penganjuran seminar bertajuk ‘Memahami Kanun Tanah Negara & Akta Perancangan Bandar dan Desa: Tanah Untuk Kuil’ di Dewan Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini hari ini, merupakan inisiatif julung kali diadakan di negara ini.
“Ini kali pertama seminar seperti ini dianjurkan dan tidak pernah ada pihak lain melaksanakannya sebelum ini. Walaupun ada yang mempersoalkan sambutan, itu bukan keutamaan kami.
“Jika hanya lima orang hadir atau 500 orang hadir, mesej ini tetap perlu disampaikan kerana ia melibatkan kefahaman asas yang sangat penting,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 700 hadirin pada program berkenaan.
Turut hadir Penasihat Mahima, Tan Sri R Nadaraja.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, isu pembinaan rumah ibadat bukan Islam tanpa kelulusan sah sering menjadi polemik berulang yang akhirnya mencetuskan perbincangan lebih luas dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kebanyakan isu tersebut berpunca daripada kekeliruan berkaitan status tanah serta prosedur kelulusan sebelum ia berkembang menjadi pertikaian yang melibatkan pelbagai pihak.
“Isu ini selalunya bermula dengan pembinaan tanpa kelulusan dan ia boleh berlarutan jika tidak ditangani mengikut saluran yang betul.
“Justeru, pemahaman terhadap undang-undang serta prosedur tanah amat penting supaya pengurusan rumah ibadat dapat dilaksanakan secara tersusun dan mematuhi peraturan,” ujarnya.

Dalam seminar itu, beliau berkata, Mahima bukan sahaja memberi penerangan mengenai Kanun Tanah Negara dan Akta Perancangan Bandar dan Desa, malah turut menyediakan panduan praktikal kepada peserta.
“Contohnya, jika seseorang memiliki tanah secara sah, apakah proses yang perlu dilalui bagi memastikan penggunaan tanah itu mematuhi saluran yang betul,” jelas beliau.
Sivakumar berkata, kehadiran pakar termasuk perancang bandar dalam seminar tersebut membantu peserta memahami dengan lebih jelas proses berkaitan kelulusan, pembangunan serta pengurusan tanah melibatkan rumah ibadat.
Menurutnya, kefahaman terhadap kedua-dua undang-undang itu amat penting bagi memastikan pembangunan rumah ibadat dilaksanakan secara tersusun serta mematuhi garis panduan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, antara agenda forum hari ini termasuk penerangan terperinci mengenai Kanun Tanah Negara, prosedur permohonan dan penukaran status tanah, garis panduan perancangan pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan serta sesi soal jawab melibatkan pakar dan peserta.
Katanya, sesi libat urus itu memberi ruang kepada pengurusan kuil dan komuniti untuk mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai isu berbangkit termasuk kelulusan pembinaan, pematuhan syarat tanah serta pengurusan rumah ibadat.
Pada masa sama, ketika berucap, beliau turut mengkritik segelintir pihak yang disifatkan gemar memainkan isu perkauman serta mengeluarkan kenyataan tidak sensitif, namun gagal tampil apabila ruang dialog disediakan.

“Ramai yang lantang bersuara di luar, tetapi apabila peluang untuk duduk semeja dan berdialog secara terbuka diberikan, mereka tidak muncul.
“Pendekatan sebegini tidak membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya mengeruhkan keadaan dan menimbulkan persepsi yang tidak sihat dalam masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya mengutamakan pendekatan libat urus dan perbincangan berasaskan fakta serta undang-undang dalam menangani isu berkaitan rumah ibadat.
Program berkenaan dianjurkan Mahima dengan kerjasama Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Kuala Lumpur (SMMTD), Concerned UM Indian Graduates (CUMIG) serta Team DSK. -MalaysiaGazette
















