KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa gagal mengurus tekanan fiskal negara dengan berkesan apabila beban subsidi bahan api kini mencecah sekitar RM4 bilion sebulan tanpa pelan jangka panjang yang jelas.
Itu dakwa Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Penyelidikan Dasar Awam dan Kehidupan Rakyat MCA, Datuk Dr Monna Ong Siew Siew.
Menurutnya, kenyataan Penasihat Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai peningkatan beban subsidi itu menunjukkan cabaran fiskal yang semakin meruncing walaupun Petronas mencatatkan keuntungan tinggi susulan kenaikan harga minyak global.
“Kebergantungan berlebihan kepada hasil Petronas untuk menampung subsidi bukan sahaja tidak mampan, malah boleh menjejaskan kapasiti pelaburan semula syarikat itu.
“Ini seterusnya memberi kesan kepada pengeluaran dan keselamatan tenaga negara pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Monna Ong berkata, situasi tersebut turut memperlihatkan kegagalan kerajaan merangka mekanisme subsidi yang tersusun dan pelan fiskal yang jelas walaupun telah mentadbir lebih tiga tahun.
Katanya, sehingga kini, kerajaan masih belum mengemukakan pelan rasionalisasi subsidi yang konkrit dan boleh dilaksanakan dengan garis masa yang jelas, sebaliknya bertindak secara reaktif apabila tekanan semakin memuncak.
“Isu fiskal tidak sepatutnya ditangani hanya apabila hampir ke tahap kritikal sebaliknya perlu dicegah melalui perancangan awal, reka bentuk institusi yang kukuh dan reformasi struktur,” ujarnya.
Beliau turut mengkritik langkah kerajaan melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi penjawat awam bermula 15 April ini sebagai reaksi sementara yang tidak menyelesaikan punca sebenar masalah.
“Langkah ini tidak mampu mengurangkan permintaan bahan api secara menyeluruh kerana rakyat masih perlu bergerak untuk urusan harian. Mengaitkan penyelesaian semata-mata dengan pengurangan perjalanan adalah pendekatan yang sempit dan tidak realistik,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan terus mengekalkan harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program BUDI Madani.
Namun pada masa sama, pengurangan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan menunjukkan tekanan kewangan yang memaksa pengurangan subsidi secara berperingkat.
Peningkatan harga pasaran sebenar bahan api turut membimbangkan apabila RON95 tanpa subsidi mencecah RM4.27 seliter manakala diesel meningkat kepada RM6.72 seliter memperlihatkan jurang besar antara kos sebenar tenaga dan harga subsidi.
“Kerajaan kini menanggung beban subsidi tahunan sehingga RM48 bilion namun pada masa sama gagal melaksanakan reformasi subsidi bersasar secara tegas,” katanya lagi.
Beliau berkata, tekanan fiskal berterusan itu akhirnya akan dipindahkan kepada rakyat sama ada melalui pengurangan perbelanjaan awam seperti pendidikan dan kesihatan atau peningkatan cukai dan caj.
“Golongan kelas pertengahan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kumpulan B40 akan paling terkesan termasuk melalui peningkatan kos operasi perniagaan dan harga barangan,” ujarnya.
Monna turut menegaskan, kebergantungan kepada hasil minyak yang tidak menentu menunjukkan kelemahan struktur ekonomi negara, memandangkan tambahan hasil minyak hanya sekitar RM10 bilion hingga RM14 bilion, jauh lebih rendah berbanding beban subsidi RM48 bilion.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan merangka pelan rasionalisasi subsidi yang telus dan jelas dengan garis masa tertentu termasuk peralihan berperingkat daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar.
“Kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme pemantauan fiskal bebas bagi mengaudit perbelanjaan, meningkatkan ketelusan serta mengelakkan ketirisan,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan agar pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, bioenergi dan hidrogen hijau dipercepatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta menstabilkan kedudukan fiskal negara.
“Malaysia memerlukan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap masa depan dengan perancangan jangka panjang, bukan pendekatan reaktif yang hanya bertindak apabila krisis berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette















