Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok dan Khamis ini bagi menyambung perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Prosiding selama dua hari itu dijadual didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.

Selain kedua-dua tarikh itu, mahkamah telah menetapkan 28 dan 29 April, 25 dan 26 Mei, 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 dan 27 hingga 29 Julai, dan 7, 18, 19, 20, 21, 26 dan 27 Ogos ini untuk perbicaraan.

Pada perbicaraan 11 Mac lalu, mahkamah mendengar keterangan seorang pegawai Ambank (M) Berhad bahawa sejumlah RM6 juta dimasukkan ke dalam akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara berperingkat-peringkat, empat tahun lalu.

Nor Paizah Osman, 44, yang juga saksi pendakwaan ketiga (SP3) berkata, wang tersebut dimasukkan menerusi cek dalam 10 transaksi melibatkan jumlah berbeza pada Februari, Mei, Oktober dan November 2022.

Beliau yang ketika itu Penolong Pengurus Ambank Cawangan Amcorp Mall berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2 juta dimasukkan pada 21 Februari manakala RM500,000 masing-masing didepositkan pada 30 Mei, 31 Oktober, 8 November dan 17 November.

Sehari sebelumnya, seorang pengurus cawangan CIMB memberitahu mahkamah, akaun Bersatu menerima kemasukan RM19.3 juta menerusi 28 cek antara Ogos 2021 dan November 2022.

Mengikut empat pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta daripada Azman Yusoff dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast