Lokasi kejadian seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Jalan Kampung Paku, Lendu, di sini, malam tadi selepas menghadiri rumah terbuka pensyarahnya. Gambar Ihsan - JSPT Melaka

ALOR GAJAH – Perjalanan pulang seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) selepas menghadiri rumah terbuka pensyarahnya berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Paku, Lendu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, mangsa, Mohammad Adam Muqris Mohd Fairus, 19, yang juga pelajar Semester 2, Sijil Landskap KKMT dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya dari arah Alor Gajah menghala ke Masjid Tanah.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Melaka berkata, Superintenden Muhammad Zaki Ramat

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati, setibanya di lokasi kejadian jalan berselekoh, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan.

“Motosikal jenis SYM 185 ditunggang mangsa kemudian terseret ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Wira yang tidak sempat mengelak.

“Akibatnya, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta lelaki berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Motosikal jenis SYM 185 ditunggang mangsa kemudian terseret ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Wira yang tidak sempat mengelak. Gambar Ihsan – JSPT Melaka

Muhammad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Puspakom.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507.

“Saksi juga boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast