Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAl, 14 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menulis surat pemaklumkan kekosongan jawatan tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, esok.

“Saya rasa esok (Isnin) surat itu akan dihantar memandangkan hari ini merupakan hari cuti.

“Ia melibatkan pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang buat masa ini.

“Bila kita hantar surat bahawa berlaku kekosongan, maka automatik Datuk Seri Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang.

“Menjelang kita nak masuk sidang (Parlimen) yang berikutnya, kita akan mempunyai Ketua Pembangkang,” katanya dalam satu video yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, ditanya berkenaan kenyataan Pas Johor bahawa jawatan Ketua Pembangkang wajar disandang pemimpin parti tersebut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, PN mendengar setiap perkara yang dibangkitkan dan akan berbincang mengenainya.

“Ya, kalau kita tanya 10 orang, 10 jawapan yang berbeza-beza.  Jadi, biasalah, masing-masing ada hasrat (yang dibawa) kepada kepimpinan.

“Jadi, apapun kita mendengar permasalahan yang disebut itu dan kita bincanglah, tengok macam mana,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa PN menamakan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah kerana ia melibatkan imej dan maruah gabungan itu.

Menurut Muhyiddin, ini kerana Hamzah bukan lagi ahli Bersatu dan PN setelah dipecat daripada parti tersebut, justeru Ahli Parlimen Larut berkenaan tidak berhak untuk terus memegang jawatan berkenaan.

Ujarnya, Hamzah juga wajar berundur sendiri daripada jawatan itu atas dasar rasa malu. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast