BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar dari keluarga berpendapatan rendah membuktikan kesusahan hidup bukan penghalang apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Nurul Amani Zabani, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti di sini, mencatat kejayaan membanggakan meskipun dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan selepas kehilangan bapa enam tahun lalu.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, Nurul Amani merupakan anak tunggal yang dibesarkan ibunya, yang dikenali sebagai Asma selepas bapanya, Allahyarham Zabani yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia akibat kencing manis.
“Sejak itu, Puan Asma menyara hidup dengan bekerja sebagai tukang cuci rumah orang, pendapatan tidak menentu, itupun jika ada panggilan kerja. Hidup mereka sederhana, penuh cabaran.
“Amani mesej saya minggu lalu menunjukkan keputusan peperiksaannya yang cukup membanggakan. Saya tersenyum panjang, tetapi saya tahu ibunya paling gembira dengan kejayaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perkenalan dengan remaja berkenaan bermula ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Permatang Pauh tahun lalu apabila Amani tampil berkongsi kesusahan hidupnya.
“Tahun lalu, semasa lawatan PMX ke Permatang Pauh, Amani memberanikan diri tampil ke hadapan dan menceritakan kesusahan hidupnya termasuk tidak mampu membayar kelas belajar motor.
“Keluhannya membuatkan PMX mengarahkan pegawainya pergi ke rumahnya. Dari situlah saya mula mengenali Amani dan mengambilnya sebagai anak angkat agar dia tidak lagi memikirkan soal kewangan untuk meneruskan pelajaran,” katanya lagi.
Beliau berkata, Amani menyimpan hasrat untuk menjadi anggota polis forensik selain bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Saya nak jadi seorang anggota polis forensik YB dan impian saya satu masa nanti saya nak sambung belajar di universiti di negara China.
“Tapi saya tak mahu berjauhan dengan ibu saya. Kalau boleh saya nak sambung belajar di IPT sekitar Permatang Pauh saja supaya mudah saya berulang alik menjenguk ibu saya setiap hari,” katanya memetik kata-kata remaja itu.
Tambahnya, beliau berbangga dengan ketabahan Amani yang tidak pernah mengeluh walaupun berdepan kehidupan mencabar.
“Saya hadiahkan Amani sebuah komputer riba sebagai semangat untuk dia melangkah ke alam universiti.
“Amani membuktikan bahawa kesusahan bukan penghalang untuk berjaya dan dia adalah simbol harapan bahawa setiap orang berhak mendapat peluang,” katanya. – MalaysiaGazette















