KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya berhubung dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad, akan didengar oleh Mahkamah Sesyen di sini esok.
Perbicaraan hari pertama dan 14 hari seterusnya akan didengar minggu ini serta pada Mei dan Jun.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan prosiding kes Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Datuk Fadzarudin Shah Anuar, 37, bermula esok hingga 17 April, 18 hingga 22 Mei, dan 8 hingga 12 Jun.
Pada 5 Disember 2024, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan dengan niat bersama sebagai ejen, iaitu Pengarah FashionValet, yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB.
Mereka didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka itu ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara, di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Januari tahun lalu, mereka turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan, iaitu secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat yang sama, iaitu dana pelaburan berkenaan, di sebuah bank cawangan di Bukit Damansara pada tarikh yang sama.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















