KUALA LUMPUR – Kerajaan menumpukan penguatkuasaan kepada kira-kira 170 stesen minyak berhampiran sempadan yang dikenal pasti berisiko tinggi, berbanding lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendekatan bersasar itu selari strategi baharu penguatkuasaan yang lebih berfokus bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api.
Menurut beliau, kerajaan tidak bercadang memantau semua stesen minyak, sebaliknya menumpukan sumber kepada kawasan panas berhampiran sempadan negara.
“Kita bukan nak jaga semua 4,000 stesen minyak, tetapi kita akan fokus kira-kira 170 stesen minyak dekat sempadan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Saifuddin Nasution menegaskan strategi baharu itu dilaksanakan secara ‘work smart’ berasaskan data bagi memastikan sumber penguatkuasaan digunakan secara optimum dan tidak terbazir.
Beliau berkata, data jualan daripada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan dimanfaatkan bagi mengenal pasti stesen minyak yang mencatatkan jumlah jualan luar biasa.
“Kalau nilai jualan itu mencanak, tak masuk akal, kita akan zoom in di situ dan tingkatkan pengawasan,” jelasnya.
Tambah beliau, perkongsian maklumat antara agensi amat penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.
“Tugas kita adalah membantu, dan selama konflik ini memberi kesan, kita akan teruskan pengarahan. Jika pengawasan menunjukkan angka penyeludupan berkurangan, kita akan menilai semula penugasan,” katanya.
Beliau berkata penugasan tambahan itu akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas supaya anggota polis memahami skop tanggungjawab masing-masing.
“Saya serahkan kepada pasukan polis untuk mengatur gerak dan melaksanakan tugasan tambahan ini seperti arahan menteri,” katanya.
Sabtu lalu, Saifuddin Nasution memaklumkan KDN akan menempatkan anggota polis di stesen minyak berhampiran kawasan sempadan bagi memantau dan mengekang penyeludupan bahan api.
Langkah itu susulan arahan terbaharu Kabinet Malaysia minggu lalu, susulan konflik di Asia Barat yang berisiko memberi kesan rantaian terhadap bekalan dan harga barangan negara.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alek Jeman menaik taraf pos kawalan keselamatan sempadan di Pengkalan Hulu yang disifatkan daif.
“Dia (pos kawalan sempadan) punya tempat berlindung dia itu macam stor burger saja. Stor burger lebih cantik,” katanya. – MalaysiaGazette
















