Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (duduk, tengah) bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak (duduk, tiga dari kanan) dan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Suhaily Mohd. Zain (duduk, dua dari kiri) bergambar bersama 48 anggota Malaysia Border Guard yang terpilih selepas Majlis Peluncuran Inisiatif Malaysia Border Guard (Veteran Angkatan Tentera) 2026 Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Maktab Penjara Malaysia, Kajang. Foto AIZAT ZAINAL, 13 APRIL 2026.

KAJANG – Seramai 48 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilantik sebagai Malaysia Border Guard (MBG) di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh keselamatan pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua lantikan kumpulan pertama itu adalah sebahagian daripada 220 veteran ATM yang akan direkrut berkuat kuasa selama setahun daripada pengambilan.

“Mereka akan ditempatkan di tiga penempatan dengan 31 orang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 orang di Pelabuhan Klang dan tiga orang Ibu Pejabat AKPS.

“Walaupun mereka ini merupakan veteran tentera, tapi sekali namanya rekrutmen untuk pengambilan dibuat agensi, mereka tetap perlu melalui proses saringan melibatkan psikometrik, ujian fizikal, sesi temuduga, tujuannya nak pastikan standard perkhidmatan pengambilan ini dapat mereka penuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Inisiatif MBG (Veteran ATM) 2026, di Maktab Penjara Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memakaikan topi kepada Staff Sarjan (B), Taufik Maulop (kanan) sebagai simbolik penyerahan Amanah dan Tanggungjawab Malaysia Border Guard yang turut disaksikan oleh Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Suhaily Mohd. Zain pada Majlis Peluncuran Inisiatif Malaysia Border Guard (Veteran Angkatan Tentera) 2026 Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Maktab Penjara Malaysia, Kajang. Foto AIZAT ZAINAL, 13 APRIL 2026.

Tambah beliau, pelantikan itu adalah susulan pengumuman Belanjawan 2026 yang memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi pengambilan veteran ATM untuk berkhidmat di bawah AKPS.

“Jadi sesuai dengan pengumuman kelulusan bajet dengan sasaran rekrut seramai 220 orang dan mereka hari ini telah melepasi semua ujian serta mempunyai tahap displin yang tinggi.

“Baki pengambilan untuk melengkapkan kuota 220 veteran ATM dijangka dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, pengalaman serta kemahiran dimiliki veteran ATM menjadikan mereka aset penting kepada AKPS dalam mengawal sempadan negara.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berucap pada Perasmian Majlis Peluncuran Malaysia Border Guard (Veteran Angkatan Tentera Malaysia) di Maktab Penjara Malaysia, Kajang. Foto AIZAT ZAINAL, 13 APRIL 2026.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, kerjasama strategik antara pelbagai agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan pihak berkaitan dilihat memperkukuh pelaksanaan inisiatif MBG secara tersusun.

“Inisiatif pengambilan veteran ATM ke dalam AKPS adalah satu langkah strategik bagi memanfaatkan pengalaman, disiplin serta kepakaran mereka.

“Pelantikan ini bukanlah penamat kepada perkhidmatan para veteran, sebaliknya merupakan kesinambungan perjuangan dalam bentuk yang baharu,” ujarnya.

Jelas beliau, langkah itu dilihat sebagai kesinambungan peranan veteran dalam memperkukuh keselamatan dan pengurusan pintu masuk negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast