Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perasmian Majlis Peluncuran Malaysia Border Guard (Veteran Angkatan Tentera Malaysia) di Maktab Penjara Malaysia, Kajang.

KAJANG – Cadangan berkaitan penggunaan senjata api bagi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) masih diperhalusi susulan insiden tembakan komander agensi itu di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Februari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan tersebut kini di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dimuktamadkan.

“Penggunaan senjata ini sudah pun dibincangkan, diangkat oleh Ketua Pengarah AKPS susulan insiden di Bukit Katu Hitam tempoh hari.

“Sekarang sedang diperhalusi di peringkat KDN. Jadi saya sedang menunggu maklum balas daripada peringkat KSU (Ketua Setiausaha Kementerian),” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bersama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri) ketika penyerahan ikrar aku janji kepada Staff Sarjan (B), Taufik Maulop (kanan) semasa Perasmian Majlis Peluncuran Malaysia Border Guard (Veteran Angkatan Tentera Malaysia) di Maktab Penjara Malaysia, Kajang. Foto AIZAT ZAINAL, 13 APRIL 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif MBG (Veteran Angkatan Tentera Malaysia) 2026, di Maktab Penjara Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin Nasution berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung insiden tembakan terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nassaruddin M. Nasir.

“Saya tak tolak kemungkinan penglibatan dalam bentuk organized crime (sindiket jenayah terancang) atau kumpulan bersindiket sebab skala operasinya itu besar.

“Siasatan bukan hanya melibatkan elemen dalam negara kita tapi juga melibatkan beberapa watak dari negara sebelah,” katanya.

Sehingga semalam, beliau berkata, beberapa tangkapan telah dibuat dan siasatan masih diteruskan pihak polis.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan bersedia menyokong segala inisiatif AKPS bagi memperkukuh keselamatan pegawainya termasuk kemungkinan menggunakan senjata api.

Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, keputusan mengenai persenjataan pegawai AKPS akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan agensi untuk menilai keperluan operasi serta aspek keselamatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast