Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menghadiri Majlis Pencapaian dan Halatuju Celik MADANI di Menara Merdeka 118. Foto Bernama Radio.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mencatatkan pencapaian signifikan dalam pelaksanaan Program Celik Kewangan Belia MADANI (Celik MADANI) apabila merekodkan lebih 200,000 penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tahun lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir  berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen tinggi IPT dalam pemerkasaan mahasiswa yang bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dari aspek pengurusan kewangan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi alam pekerjaan dan kehidupan sebenar selepas tamat pengajian.

Menurut beliau, ASNB menjangkakan untuk memiliki seramai satu juta pelajar sehingga 2030, yang mana sasaran itu hasil kerjasama erat antara KPT, institusi-institusi pendidikan tinggi di bawahnya iaitu terdiri daripada universiti, politeknik dan kolej komuniti.

”Melihatkan kesan positif ini, saya menyeru agar lebih banyak universiti tampil untuk menyertai Program Celik MADANI mengambil inisiatif proaktif dengan menganjurkan program literasi kewangan secara berterusan khususnya melalui kolaborasi strategik bersama ASNB.

“Pendekatan ini membolehkan penyampaian ilmu kewangan dilaksanakan secara lebih tersusun, relevan dan berpaksikan keperluan sebenar pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pencapaian dan Halatuju Celik MADANI di Menara Merdeka 118 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan PNB; Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB; Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.

Program Celik MADANI diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) pada 22 Ogos 2024.

Program itu mencapai sasaran penyertaan 200,000 pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) terpilih dalam tahun pertama pelaksanaannya.

Setakat ini, sebanyak 27 universiti telah menunjukkan komitmen dalam menjayakannya, dengan pelaksanaan 196 aktiviti promosi oleh pihak ASNB di seluruh negara melibatkan lebih 134,00 pelajar yang telah mengikuti program literasi kewangan dan sesi bimbingan pembukaan akaun.

Celik MADANI menyasarkan penyertaan kumulatif seramai sejuta pelajar menjelang 2030 selaras dengan usaha berterusan ASNB untuk memperkasakan literasi kewangan dan membentuk belia Malaysia sebagai generasi labur yang berdaya tahan demi masa depan yang lebih cerah.

Pelajar yang menyertai program itu menerima pelaburan permulaan sebanyak RM50 dalam bentuk unit amanah Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) sebagai langkah awal untuk memulakan perjalanan pelaburan mereka.

Sementara itu, Arshad berkata, PNB dan ASNB komited terhadap kesinambungan mandat Program Celik MADANI bagi tahun 2026 sebagai komitmen jelas untuk memperluaskan program itu ke lebih banyak universiti dan IPT dan memastikan lebih ramai pelajar dibekalkan dengan kemahiran kewangan.

“Ini adalah selaras dengan hala tuju kami, membentuk generasi labur yang berdaya tahan dan berpengetahuan.

”Kami mahu membentuk generasi pelapis yang peka dan bertanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka, seiring matlamat kami untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat merentas generasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast