KUALA LUMPUR – Tindakan pemotongan gading terhadap seekor gajah Asia bernama Kelat di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun adalah sebahagian daripada prosedur pengurusan veterinar berasaskan penilaian klinikal serta keutamaan terhadap kebajikan haiwan tersebut.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan orang awam susulan isu tular membabitkan rawatan gading Kelat, selain sentiasa terbuka menerima pandangan masyarakat berhubung kebajikan tiga ekor gajah Asia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang ditempatkan di Jepun.
Menurut jabatan itu, kerosakan pada gading kiri Kelat telah dikenal pasti, manakala pemotongan gading pada bahagian kanan dilakukan sebagai langkah pengimbangan (balancing) bagi mengelakkan ketidakseimbangan struktur yang boleh memberi tekanan kepada kepala dan rahang gajah berkenaan.
“Ketidakseimbangan ini berpotensi menyebabkan ketidakselesaan, meningkatkan risiko kecederaan serta menjejaskan tingkah laku semula jadi seperti pergerakan, pemakanan dan interaksi sosial.
“Sehubungan itu, langkah rawatan dan pencegahan tersebut dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan serta kualiti hidup jangka panjang Kelat, selain mematuhi amalan kebajikan haiwan dan piawaian veterinar yang diiktiraf,” ” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Perhilitan turut memaklumkan prosedur berkenaan dijalankan secara terkawal dengan pendekatan yang meminimumkan tekanan fisiologi kepada hidupan liar, selain pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.
Dalam masa sama, katanya, Perhilitan turut bekerjasama dengan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) serta Zoo Tennoji bagi memantau keadaan semasa Kelat, termasuk dua lagi gajah iaitu Dara dan Amoi.
Jabatan itu turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan aspek kebajikan hidupan liar sentiasa menjadi keutamaan, khususnya bagi spesies yang ditempatkan di bawah program konservasi antarabangsa. – MalaysiaGazette















