Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan Datuk Seri Hamzah Zainudin berjiwa besar apabila melepaskan jawatan Ketua Pembangkang.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan itu juga membuktikan Ahli Parlimen Larut berkenaan tidak obses dengan jawatan.

Ujarnya, keputusan Hamzah itu sekali gus membolekan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut mendapat sokongan kuat Hamzah membuat penyusunan semula barisan kepimpinan di dalam PN.

“Saya menyokong Datuk Seri Hamzah kerana beliau mempunyai gagasan yang jelas, iaitu konsensus baharu nasional, dan ada pendekatannya yang sudah digerakkan, iaitu reset.

“Saya juga menyokong Datuk Seri Hamzah kerana beliau berjuang untuk menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar, serta memfokus kepada pembangunan Malaysia yang lebih baik,” katanya menerusi rakaman video di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata, beliau difahamkan akan ada perkara dan langkah lebih besar yang akan diumumkan Hamzah dari semasa ke semasa.

Semalam, Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mengesahkan Hamzah sudah melepaskan jawatan Ketua Pembangkang.

Susulan itu, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menulis surat pemaklumkan kekosongan jawatan tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa PN menamakan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah kerana ia melibatkan imej dan maruah gabungan itu.

Menurut Muhyiddin, ini kerana Hamzah bukan lagi ahli Bersatu dan PN setelah dipecat daripada parti tersebut, justeru Ahli Parlimen Larut berkenaan tidak berhak untuk terus memegang jawatan berkenaan.

Ujarnya, Hamzah juga wajar berundur sendiri daripada jawatan itu atas dasar rasa malu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast